Semua sekolah di Sarawak akan dinaik taraf mengikut standard tertentu

Covid-19 peluang ganti gaya konvensional

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Amar Jaul Samion

KUCHING: Penjawat awam perlu menerapkan budaya inovasi membantu menyelesaikan masalah rakyat supaya tidak ketinggalan sejajar dengan situasi semasa, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Katanya, penjawat awam perlu mencari idea baharu mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah  lebih inovatif di luar kelaziman, bersesuaian situasi semasa dan norma baharu.

Menurutnya, situasi pandemik dan inovasi menjadi peluang terbaik penjawat awam berfikiran kreatif, kritis dan konstruktif dengan inovasi yang harus diaplikasikan agar memberi impak signifikan berdasarkan kehendak semasa.

“Produk inovasi berimpak tinggi haruslah menjangkau skop perkhidmatan lebih meluas serta merangkumi seluruh lapisan masyarakat di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.

Ujarnya, ini bermaksud tiada yang ketinggalan atau terpinggir dalam mendapat manfaat daripada kerangka kerja inovasi yang sedang dilaksanakan kini dan masa akan datang.

Hal ini sebagaimana saranan utama dalam Pasca Strategi Pembangunan Covid 2030 (PCDS 2030) cetusan idea Ketua Menteri, yang telah dilancarkan pada 22 Julai lalu iaitu inklusiviti sosial.

“Oleh itu, apabila kita menghasilkan sesuatu inovasi, golongan rakyat yang tinggal di kawasan terpencil harus diberi perhatian supaya tidak terpinggir daripada menikmati perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian e-Hari Produktiviti dan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Sarawak 2021 semalam.  Jaul berkata, produk inovasi juga harus mencapai matlamat asas iaitu inovasi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Ini bererti, sekiranya penjawat awam berhadapan masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah lazim, mereka perlu memikirkan idea bukan lazim untuk menyelesaikan masalah tersebut,” tambahnya.

Selain itu kata Jaul, inovasi harus dibuat untuk menyelesaikan masalah dalaman sesebuah organisasi seperti ketidakcekapan dalam jabatan atau agensi berkenaan yang bertujuan meningkatkan kecekapan organisasi.

“Ini supaya organisasi boleh bekerja dengan lebih cepat, mesra rakyat, meningkatkan hasil kerajaan, mengurangkan perbelanjaan dan sebagainya,” ujarnya. Ujarnya lagi, dengan usaha penerapan nilai-nilai budaya inovasi berterusan, beliau berharap pelbagai idea dan pendekatan baharu yang lebih segar dan kompetitif dapat dihasilkan.

“Ia supaya dapat memecahkan tembok usang kaedah konvensional yang kita amalkan sekian lama, namun sudah tidak lagi relevan dan merugikan,” jelasnya.   Oleh itu, Jaul menggesa agar semua produk inovasi ini dilaksanakan dan diterapkan ke dalam rancangan tindakan dan pelaksanaan yang lebih bersepadu dan komprehensif.

Ulasnya, ia bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan masyarakat luar bandar.  “Sambutan tahun ini boleh diiktiraf mencapai matlamatnya dengan impak signifikan dan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 632 projek inovasi dihasilkan dan jumlah komuniti aktif penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam Sarawak kini mencecah 5,227 peserta.

Pada masa sama, katanya, sebanyak enam kumpulan agensi negeri Sarawak akan menggalas cabaran menyertai Konvensyen Antarabangsa ke-46 mengenai Kumpulan Kawalan Kualiti (ICQCC) 2021, di Hyderabad, India secara maya pada 24 hingga 27 November depan.

“Ini julung kalinya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dengan jumlah yang banyak, enam projek inovasi menyertai Program ICQCC,” ujarnya lagi.

Sementara, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Amir Omar berkata, produktiviti tidak akan tercapai dengan sendirinya kerana pertumbuhan produktiviti wujud melalui tindakan yang dirancang dengan teliti.

Justeru jelasnya, jabatan dan agensi kerajaan digesa untuk merancang dan mengambil langkah bersesuaian bagi merangka strategi dan pelaksanaan tindakan untuk mempertingkat produktiviti.

“Mereka perlu mewujudkan sistem pengukuran produktiviti yang sesuai dengan hasil yang dikeluarkan seiring perubahan landskap ekonomi dan persekitaran di peringkat global dan domestik.

Oleh itu jelasnya, pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai satu peluang kepada perkhidmatan awam untuk mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah baharu sesuai dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Dalam pada itu, Amir menekankan, pendekatan tenaga kerja yang tangkas, serta fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan keadaan adalah penting di waktu negara dilanda krisis.

“Bagi mendepani senario semasa dan akan datang, masanya sudah tiba agar semua penjawat awam seiring dalam mendokong agenda nasional mengenai pelaksanaan kerajaan digital atau kerajaan elektronik,” jelasnya.

Katanya, pembaharuan yang dilakukan terhadap perkhidmatan awam negara merupakan suatu usaha kerajaan secara bersepadu untuk penambahbaikan jentera kerajaan.

Katanya, pembaharuan yang dilaksanakan bukan hanya meliputi sistem dan struktur bahkan merangkumi keseluruhan entiti sektor awam termasuklah kakitangan awam.

“Menjadi keutamaan agar perkhidmatan awam setanding negara maju lain seterusnya menyumbang kepada kemakmuran Malaysia,” katanya.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

23 Mac 2023

Berita Terbaru