Covid-19: Pengurusan sukan dalam dilema

PIHAK pengurusan dan persatuan sukan yang dibenarkan untuk membuat latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak masih berhati-hati untuk membuka semula premis latihan mereka untuk atlet-atlet berlatih kerana situasi negara yang belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Antara sukan yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti sosial ini termasuklah sukan yang tidak melibatkan sentuhan seperti sukan tenis, berbasikal, sukan permotoran dan golf. Manakala sukan seperti bola sepak, ragbi, tinju, muaythai dan hoki dilarang.

Untuk membuka semula pusat latihan, persatuan-persatuan sukan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan oleh kerajaan bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan atlet dan pegawai bertugas.

Kerajaan Sarawak sendiri telah mengeluarkan garis panduan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial semasa PKPB Covid-19 termasuklah aktiviti sukan yang dibenarkan serta aktiviti yang dilarang.

Meskipun terdapat sukan yang dibenarkan namun ia masih menjadi kebimbangan buat semua badan sukan untuk membenarkan jurulatih dan atlet berlatih walaupun harus membuat persediaan ke pertandingan seperti Sukan Malaysia ke-20 di Johor.

Kebimbangan itu juga turut berlaku kepada ibu bapa atlet yang terpaksa melepaskan anakanak mereka untuk turun berlatih walaupun SOP telah disediakan dan harus dipatuhi. Tambahan pula, agak sukar mengawal pergerakan atlet-atlet di sesuatu kawasan seperti pusat latihan, lebih-lebih lagi apabila sudah lama tidak bertemu rakanrakan atlet yang lain.

Oleh hal demikian, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah mengambil langkah drastik apabila menutup kompleks sukan sepanjang tempoh PKPB kerana masih terikat dengan arahan Kerajaan Persekutuan.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengingatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah, hendaklah mematuhi dan mengikuti kaedah yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa seperti aktiviti di kawasan lapang.

Riadah yang dibenarkan Selain itu, aktiviti riadah orang awam hendaklah tidak melibatkan mana-mana sukan yang dilarang serta sentiasa mengamalkan penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak Covid 19.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak(SLTA), Datuk Patrick Liew berkata, membuka pusat latihan tenis hanya kepada ahli persatuan dan atlet di bawah kelolaan persatuan sahaja untuk berlatih bagi memudahkan kawalan pergerakan keluar masuk pusat.

Latihan di gelanggang tenis juga terhad kepada empat orang dalam satu gelanggang dan pemain tidak digalakkan bersembang dengan rakan-rakan yang lain selepas sesi latihan serta balik terus ke rumah.

Bagi sukan berbasikal pula, atlet masih belum menjalani sesi latihan di trek atau tempat latihan kerana masih bimbang akan keselamatan pelumba dan akan hanya memulakan sesi latihan bersama jurulatih selepas keadaan negara kembali reda.

Walaupun demikian, atlet-atlet di negeri ini tidak mudah patah semangat walaupun tidak dapat berlatih di pusat latihan dengan melakukan sesi latihan di rumah masing-masing bagi mengekalkan kecergasan fizikal.

Dengan melakukan latihan individu dari rumah dapat mengelakkan atlet-atlet terdedah kepada penyakit Covid-19 meskipun prestasi berlatih di pusat latihan jauh berbeza berbanding latihan dari rumah.

Kesukaran yang dihadapi oleh atlet-atlet ini sedikit sebanyak mengganggu kerjaya mereka sebagai ahli sukan kerana banyak pertandingan-pertandingan terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan.

Kesimpulannya, baik atlet sukan yang dibenarkan mahupun atlet sukan yang dilarang untuk berlatih di pusat latihan, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan momentum di samping membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

Selain daripada itu, pengiatpengiat sukan harus menerima norma hidup baru walaupun keadaan negara kembali reda daripada wabak Covid-19 dengan pematuhan SOP yang disediakan oleh kerajaan sebelum menganjurkan sebarang pertandingan.