COVID-19: Pesakit sembuh masih positif untuk jangka panjang – KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kebanyakan pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19  dan diuji menerusi ujian rt-PCR masih menunjukkan keputusan positif virus itu untuk jangka panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ujian rt-PCR sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

“Walaupun mereka masih dikesan positif, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat. Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 gagal dibiakkan.

“Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif COVID-19 bagi pesakit yang telah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata penemuan serupa turut dilaporkan di beberapa negara termasuk Korea Selatan, China, Singapura dan Jerman.

Menurut Dr Noor Hisham, kajian di China menunjukkan kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala dan kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari.

Kajian di Taiwan pula mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID19, mereka tidak menyebarkan virus kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit tersebut, katanya.

“Pemantauan ini adalah bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit atau infectious period bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula dan kemuncaknya satu hari sebelum gejala.

“Tempoh berjangkit juga didapati menurun ke paras yang sangat rendah dalam masa tujuh hari selepas itu,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata KKM telah mengemas kini garis panduan discaj pesakit COVID-19 untuk pesakit yang bergejala dan tidak bergejala.

Bagi pesakit yang bergejala, mereka perlu pulih daripada demam sekurang-kurangnya tiga hari atau 72 jam tanpa menggunakan ubat demam untuk dibenarkan discaj.

Bagi gejala pernafasan pula iaitu batuk dan sesak nafas mestilah bertambah baik sekurang-kurangnya 14 hari sejak gejala bermula.

“Sementara untuk pesakit tidak bergejala pula, mereka dibenarkan discaj setelah 14 hari tarikh ujian diagnostik COVID-19 didapati positif dengan anggapan mereka tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian positif mereka.

“Ujian pengesanan COVID-19 tidak diperlukan sebelum pesakit didiscaj dari wad penyakit berjangkit. Sekiranya pesakit masih memerlukan rawatan perubatan selain rawatan COVID-19, mereka boleh dipindahkan ke wad lain,” katanya.

–BERNAMA

Suara Sarawak