Covid-19, PKPD dan PRN-12

WABAK Covid-19 semakin menghantui kita dengan peningkatan kes sejak dua minggu kebelakangan ini, lantas mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutama bagi mereka yang terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat yang lalu.

Ketika negara beralih kepada PKP Pemulihan, dan keadaan kelihatan reda, tiba-tiba wabak ini kembali meletus terutama selepas PRN Sabah pada 26 September lalu.

Sehingga kini, kes positif di seluruh Malaysia melonjak ke angka 10,051 dengan 249 kematian.

Malah Sarawak yang sebelum ini berada dalam zon hijau, kembali merah, dan terpaksa mengambil keputusan drastik, melaksanakan PKP Diperketatkan di Kampung Haji Baki yang terjejas teruk, sehingga 11 November ini.

Sarawak turut mencatat kes positif tertinggi Rabu lalu, dengan 27 kes, mengatasi rekod lama, 25 kes yang dicatat pada Julai lalu.

Keadaan ini menyebabkan kerajaan menutup sekolah, operasi hiburan, dan mengehadkan semula tempoh operasi kedai makanan.

Ia mesti dilakukan demi kesihatan dan keselamatan semua pihak.

Sektor ekonomi yang sebelum ini menampakkan pemulihan, kelihatan kembali merudum, terutama penggiat industri pelancongan.

Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, bahawa penggiat industri pelancongan di Sarawak kerugian sekitar RM368 juta ekoran ‘pukulan’ pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Kini ia kembali, dan amat sukar untuk meramal nasib industri pelancongan sekarang ini, sama ada di peringkat domestik mahupun nasional.

Yang pasti, ia dijangka akan terus menurun.

Di samping itu, pihak kerajaan juga berada dalam dilema, sama ada perlu mengadakan pilihan raya atau sebaliknya.

Lebih-lebih lagi Sarawak, yang seharusnya mengadakan PRN-12 dalam masa terdekat.

Sebelum ini kebanyakan pemerhati politik Bumi Kenyalang meramalkan PRN-12 mesti diadakan pada tahun ini, sama ada Oktober atau November.

Kini Oktober telah pun berlalu, tinggal lagi November.

Jadi, adakah PRN-12 akan diadakan bila-bila masa dari sekarang?

Jawapannya 90 peratus ya!

Ini kerana sukar untuk ia diadakan pada Disember ekoran musim tengkujuh, atau awal tahun hadapan.

Pada masa yang sama kita tidak tahu, bila Covid-19 akan reda.

Bagaimana pula jika keadaannya semakin teruk pada Januari, Februari, Mac dan April tahun hadapan?

Oleh itu, kita tiada pilihan, PRN-12 wajar diadakan dalam masa terdekat.

Lagi pula ia bukan perkara baharu, kerana Sabah telah mengadakannya September lalu.

Malah beberapa buah negara, termasuk Singapura telah pun mengadakannya ketika keadaan wabak ini masih menular.

Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) khas perlu diwujudkan dengan memperketat kawalan dan pergerakan sepanjang kempen sehingga tarikh pembuangan undi.

Memang tidak dapat dinafikan, bahawa kita takut apa yang berlaku di Sabah selepas PRN akan berlaku di Sarawak, peningkatan kes secara mendadak.

Yang pasti, ia tidak dapat dielakkan dan merupakan cabaran getir untuk kita semua.

Apa yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa sekarang ini ialah berusaha sebaik mungkin, dengan SOP khas yang boleh membantu.

Selain itu, kerjasama masyarakat sepanjang tempoh ini amatlah penting serta doa berterusan demi kesejahteraan semua pihak.

Suara Sarawak