Covid-19: Sarawak catat 173 kes baharu

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan sebanyak 173 kes baharu jangkitan Covid-19 dan sifar kematian. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan kes keseluruhan positif Covid-19 meningkat kepada 12,051 kes.

“Daripada jumlah tersebut, daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah daerah Sibu sebanyak 71 kes diikuti Miri (19), Bintulu (16), Kuching (15), Meradong (10), Serian (9), Julau (7), Kapit (5), Tanjung Manis (5), Betong (3), masing- masing dua Belaga, Mukah, Sri Aman, Subis), Telang Usan, manakala Dalat, Samarahan dan Sarikei satu,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Daripada 173 kes baharu yang dilaporkan, Uggah mendedahkan bahawa seramai 19 orang atau 10.98 peratus yang telah menunjukkan tanda-tanda dan mengalami tanda-tanda jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Sebanyak 105 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 (dua orang bergejala), 33 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (tiada orang bergejala), 16 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 19 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan (satu kes bergejala),” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, JPBNS melaporkan terdapat 203 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Sibu (84), Hospital Sarikei (32), PKRC di bawah Hospital Kapit (29), Hospital Umum Sarawak (26), Hospital Bintulu (19), Hospital Miri (12) dan PKRC Betong (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih serta dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 9,590 orang atau 79.58 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak