KUCHING: Kematian akibat Covid-19 di Sarawak melonjak apabila sebanyak 20 kes direkodkan hari ini, manakala sejumlah 2,707 kes baharu dilaporkan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daripada 20 kes tersebut, empat di Sibu, Serian (3), Lubok Antu (2), Miri (2), Sri Aman (2), dan masing-masing satu di Bau, Selangau, Kuching, Matu, Beluru, Bintulu serta Kanowit.
Mengulas mengenai kes positif, JPBN mendedahkan Daerah Kuching terus merekodkan kes positif tertinggi dengan 697 kes diikuti Bintulu (355), Sibu (333), Miri (228), Samarahan (165), Serian (162), Bau (144), Lundu (61), Asajaya (61), Saratok (55), Kapit (51), Subis (49), Lawas (41), Sarikei (40), Simunjan (37), Pakan (29), Lubok Antu (19), Song (18) Beluru (18) dan Sebauh (17).
“Selain itu, Sri Aman (15), Limbang (15), Pusa (14), Tebedu (12), Selangau (11), Kanowit (10), Belaga (8), Mukah (7), Tatau (7), Betong (6), Bukit Mabong (6), Julau (5), Marudi (5), Meradong (4) dan Telang Usan (2),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, JPBN berkata satu kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Taman Raja, Miri diisytiharkan hari ini apabila 24 daripada 151 orang yang disaring didapati positif.
“Manakala Kluster Peligong di Saratok, Kluster Tanjung Tuang di Samarahan dan Kluster Bandar Riyal di Samarahan diisytiharkan tamat,” jelasnya.