Covid-19: Sarawak rekod 8 kes baharu

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan lapan kes positif Covid-19 baharu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, empat kes adalah dari Kuching, tiga kes dari Samarahan dan satu kes dari Limbang.

“Manakala daerah-daerah lain tiada kes dilaporkan.

“Kes ini adalah bukti betapa penting dasar kuarantin perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong.

Mengulas mengenai kes di Limbang, beliau berkata pesakit berkenaan di kuarantin di Limbang sekembalinya dari Brunei dan kes disaring pada hari kesepuluh.

Selain itu, Uggah yang juga pengerusi JPBN berkata seorang lagi petugas kesihatan Kuching telah disahkan positif Covid-19.

Manakala, katanya 11 kes telah sembuh dan discaj dari hospital iaitu enam kes dari Hospital Umum Sarawak, empat kes dari Hospital Miri dan satu kes dari Hospital Sibu.

Sementara, beliau berkata bilangan individu dalam siasatan (PUI) hari ini adalah sebanyak 123 kes dan jumlah PUI yang masih menunggu keputusan makmal adalah sebanyak 111 kes.

Bagi individu dalam pemantauan (PUS), Uggah berkata seramai 63 orang lagi telah mendaftar masuk di hotel manakala 61 orang telah lengkap menjalani
tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah.