Covid-19: Sarawak terus catat kes baharu harian tiga angka

KUCHING: Sarawak terus mencatatkan kes harian jangkitan Covid-19 tiga angka dengan 222 kes positif baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,273 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, sebanyak 57 kes dilaporkan di Miri, Sibu (38), Kuching (29), Bintulu (25), Betong (12), Meradong (12), Julau (10), Subis (9), Kapit (7), Song (7), Samarahan (4), Saratok, Serian dan, Limbang masing-masing 2kes, manakala Bau, Kanowit, Mukah, Sarikei, Sebauh dan Telang Usan masing-masing mencatatkan satu kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 168 kes adalah individu yang diberi arahan menjalani perintah kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.

“Mereka ini terdiri daripada 167 individu yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19, manakala seorang lagi individu baru balik dari kawasan berisiko tinggi (Import B),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah JBPSN, daripada 222 kes baharu, seramai 35 orang individu atau 15.76 peratus adalah bergejala semasa saringan dijalankan.

“Sementara itu, hari ini terdapat 236 kes pulih dan dibenarkan discaj iaitu 80.06 peratus atau 9,826 kes positif Covid-19 di Sarawak. “Manakala jumlah kes aktif dan masih mendapat rawatan adalah 2,313 orang,” ujarnya.

Suara Sarawak