Covid-19: Sarikei, Serian kini zon jingga

KUCHING: Daerah Sarikei dan Serian kini telah bertukar ke status jingga dari kuning setelah merekodkan 21 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada hari ini, daerah Sarikei mencatatkan sembilan kes iaitu merupakan individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif Covid-19.

“Sementara itu, daerah Serian mencatatkan empat kes yang merupakan individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif Covid-19,” beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Tambah Uggah, daerah Kanowit juga telah bertukar ke status jingga dari merah setelah merekodkan 26 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal merah dengan sejumlah 2,616 kes jangkitan tempatan dilaporkan di 10 buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Julau, Subis, Bau, Bukit Mabong, Dalat dan Sri Aman kekal jingga dengan jumlah keseluruhan 163 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Marudi, Mukah, Pusa, Song, Asajaya, Beluru, Saratok dan Sebauh kekal kuning dengan jumlah keseluruhan 61 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya.

Manakala 14 daerah lain kekal hijau.

Suara Sarawak