Covid-19: Satu kematian, 135 kes baharu di Sarawak

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 135 kes baharu jangkitan Covid-19 dan satu kematian baharu di daerah Sibu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 4,450 kes manakala 38 kes kematian dicatatkan.
“Daripada jumlah tersebut, daerah Sibu terus melaporkan kes tertinggi dengan Sibu (47), Miri (32), Bintulu (15), Bau (11), Subis (7), Song (7), Kuching (5), Kanowit (4), Lundu (3), Serian (2), Sri Aman (1) dan Sebauh (1),” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.
Mengulas mengenai satu kematian baharu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kematian ke-38 merupakan kes ke-4,299 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 73 tahun.
Ujar beliau, kes didapati tidak sedarkan diri di rumah oleh keluarganya pada 29 Januari lalu dan pasukan kecemasan ambulan telah bergegas ke rumah kes selepas menerima panggilan kecemasan dari pihak keluarganya.
“Namun kes kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan kecemasan ambulans selepas tiba di rumah kes.
“Ujian rt-PCR telah diambil pada 29 Januari lalu didapati positif pada hari yang sama dan kes mempunyai sejarah demam dan batuk tiga hari sebelum ini. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia,” katanya.
Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa terdapat 186 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini iaitu 127 kes dari Hospital Sibu, Hospital Miri (19), Hospital Bintulu (16), Hospital Sarikei (10), Hospital Umum Sarawak (8) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kapit (6).
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 2,693 orang atau 60.52 peratus,” jelasnya.
Dalam perkembangan yang sama, Uggah mendedahkan bahawa seramai 134 PUI baharu telah dilaporkan dan 59 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.