Covid-19 : Satu kematian, 184 kes positif Covid-19 di Sarawak

KUCHING: Satu kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini, melibatkan kes jangkitan di Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 56 kes.

Katanya, kes kematian ke-56 merupakan kes ke-4730 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 70 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.

“Saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 2 Februari lalu, keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari.

“Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit kanser darah,” katanya menerusi kenyataan perkembangan harian Covid-19 di Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan terdapat 184 kes positif Covid-19 yang dikesan di Sarawak iaitu Sibu (57), Subis (31), Kapit (24), Julau (18), Sri Aman (10), Song (sembilan), Kuching (enam), Bintulu (enam), Miri (lima), Pakan (empat), Bukit Mabong (empat), Beluru (tiga), Kanowit (dua), Lundu (satu), Saratok (satu), Matu (satu), Dalat (satu) dan Limbang (satu).

“Ini mejadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 6,190 kes,” ujarnya.

Menurut JPBNS lagi, terdapat 172 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini dari Hospital Sibu (74), PKRC di bawah Hospital Kapit (48), Hospital Miri (21), Hospital Bintulu (14), Hospital Sarikei (sembilan) dan Hospital Umum Sarawak (enam).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 4,273 orang atau 69.03 peratus dari jumlah keseluruhan kes di Sarawak.

“Manakala, jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 1,836 orang.

“Daripda jumlah tersebut 891 kes di Hospital Sibu; 388 kes di Hospital Miri; 174 kes di Hospital Kapit (PKRC Kapit); 174 kes di Hospital Umum Sarawak; 164 kes di Hospital Bintulu; 41 kes di Hospital Sarikei; tiga kes di Hospital Limbang (PKRC Limbang) dan satu kes di Hospital Saratok,” jelasnya.

Sehubungan itu, terdapat 295 PUI baru telah dilaporkan dan 19 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak