COVID-19: Satu kematian dan 178 kes positif baharu dikesan di S’wak

KUCHING: Satu kes kematian melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 61 tahun dari Sibu direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan 90 kes kematian kesemuanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes positif ke-8,606 itu dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala selsema, batuk dan masalah pernafasan.

“Saringan ujian rt-PCR pada 22 Februari terkesan positif pada 23 Februari. “Keadaan kesihatan kes didapati telah merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada 14 Mac dan kes mempunyai ko- morbid penyakit kencing manis serta kanser nasopharynx,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kes positif baharu Covid-19 hari ini, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mendedahkan terdapat 178 kes baharu dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 12,451 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kes di daerah Bintulu, Miri (32), Sibu (27), Song (23), Kuching (21), Kapit (18), Meradong (4), Sri Aman (4), Kanowit (3), Lawas (2), Samarahan (2), dan satu masing-masing di Betong, Julau, Mukah, Pusa, Sebauh, Serian, serta Tatau.

“Daripada 178 kes baharu yang dilaporkan, seramai 20 orang menunjukkan dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan,” jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 134 kes yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan.

“Mereka ini terdiri daripada 125 orang yang merupakan individu yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19, enam orang adalah individu yang balik dari luar negara (Import A) dan tiga orang adalah individu yang baru pulang dari kawasan berisiko tinggi (Import B),” ujarnya lagi.

Suara Sarawak