Covid-19 satu kematian direkodkan hari ini

KUCHING: Satu kes kematian melibatkan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan seorang wanita warga emas berusia 83 tahun.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kes kematian ke-89 merupakan merupakan kes positif ke-10,510. Katanya, kes telah dibawa ke Hospital Mukah kerana didapati tidak sedarkan diri di rumah dan disahkan meninggal dunia pada 2 Mac lalu.

“Saringan ujian rt-PCR telah dibuat pada 3 Mac 2021 dan didapati positif Covid-19. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia.

“Dimaklumkan bahawa kes ini adalah kontak kepada kluster Buloh di Selangau. Kes kematian ini juga diklasifikasikan sebagai meninggal dunia semasa dibawa ke hospital,” jelas JPBNS dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa tersebut turut melaporkan sebanyak 163 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak.

Katanya, daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Betong (37), Miri (25), Bintulu (23), Sibu (17), Subis (15), Kuching (12), Julau (9), Asajaya (6), Kapit (6), Sarikei (4), Pusa (3), Samarahan (2), Bau (1), Kanowit (1), Tatau (1) dan Dalat (1).

Tambahnya, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 11,511 kes.

“Daripada 163 kes baharu yang dilaporkan, hanya seramai 17 orang atau 10.43 peratus yang telah menunjukkan dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

“Empat puluh kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (2 orang bergejala), 92 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 (4 orang bergejala),” kata JPBNS.

Katanya, 11 kes yang dilaporkan merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan. JPBNS turut melaporkan satu kes import A dari Amerika Syarikat dan 19 kes saringan-saringan lain di fasiliti kesihatan di mana semua kes tidak menunjukkan tanda atau mengalami gejala.

Suara Sarawak