Covid-19: Satu kematian, satu kluster baharu di Daerah Bau

KUCHING: Lelaki berusia 40 tahun menjadi korban baharu Covid-19 di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kes kematian di meningkat kepada 36 orang atau 0.87 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes adalah warga Sarawak yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami kesesakan pernafasan.
“Saringan ujian rT-PCR mendapati kes adalah positif Covid-19 serta mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia serta disahkan meninggal dunia pada hari ini,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Tabong di Daerah Bau.
“Indek kes adalah ke-3718 yang telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta di Kuching kerana bergejala.
“Pengesanan secara aktif kepada kontak rapat dan kontak sosial kepada kes ini telah mengesan tambahan enam kes positif baharu.
“Setakat jam 12:00 tengah hari, seramai 74 individu telah disaring dengan tujuh positif, 37 negatif dan 30 masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Suara Sarawak