Covid-19: Satu kluster baharu dikesan di Sarawak, Kluster Nanga Lijan, Julau

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan terdapat satu kluster baharu direkodkan di Sarawak hari ini, iaitu Kluster Nanga Lijan di Daerah Julau, Bahagian Sarikei.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Kluster komuniti ini melibatkan sebuah rumah panjang di Rumah Banyang, Nanga Lijan di Julau dan kontak rapat tempat kerja di sebuah pasar raya di Daerah Sibu.

“Indeks kepada kluster ini adalah kes Ke-5008 yang merupakan seorang lelaki tempatan yang telah dikesan melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Julau pada 1 Februari setelah mengalami demam dan batuk sejak 27 Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak hari ini.

Menurut JPBNS, ekoran pengesanan kes di rumah panjang tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan selama 14 hari bemula pada 8 Februari sehingga 21 Februari ini.

“Hasil pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini dan saringan secara aktif di rumah panjang tersebut, terdapat penambahan sebanyak 22 kes lain yang telah dikesan.

“Sehingga hari ini (11 Februari) jam 12:00 tengah hari, seramai 116 individu telah disaring dan 23 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks (17 kes baharu hari ini), 53 individu negatif, dan 40 individu yang masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, dengan penambahan satu kluster baharu tersebut ia menjadikan 16 kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak.

Antaranya, Kluster Nanga Lijan di Julau (baru diisytiharkan hari ini); Kluster Seruas, Beluru; Kluster Sebangkoi, Sri Aman; Kluster Jun Heng, Bintulu; Kluster Bintang Daily, Meradong; Kluster Jalan Pengiran, Matu; Kluster Tabong, Bau; Kluster Indah Riang, Kuching; Kluster Bedayan, Serian; Kluster Rakut, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu; Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bah Sayap, Miri dan Kluster Stutong, Kuching.

Suara Sarawak