COVID-19: Thailand catat sifar kes baharu dan kematian

BANGKOK: Thailand pada Selasa mencatatkan sifar kes baharu COVID-19 dan kematian buat pertama kali sejak 9 Mac, dengan jumlah kekal 3,017 kes dan 56 kematian seperti dilaporkan pada Isnin.

Jurucakap Centre for COVID-19 Situation Administration (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata sehingga hari ini, 2,844 pesakit telah pulih dan dibenar keluar dari hospital manakala 117 masih menerima rawatan di wad.

 “Ia satu kelegaan tetapi tidak ada sebab untuk selesa. Kita hendaklah terus mematuhi semua langkah perlu termasuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan kebersihan diri dan terus menjaga jarak sosial,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Thaweesilp berkata, pelaksanaan perintah berkurung dari 10 malam hingga 4.00 pagi sejak 3 April adalah antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kes baharu.

Thailand mencatatkan kes baharu harian dengan satu angka sejak 3 Mei, melainkan 18 kes pada 4 Mei melibatkan 18 tahanan di pusat penahanan Imigresen di wilayah selatan Songkhla.

Sebanyak sembilan daripada 77 wilayah di Thailand kekal bebas COVID-19 manakala 50 lagi tidak mencatatkan sebarang kes baharu sekurang-kurang 28 hari.

Thailand merancang untuk membuka semula lebih banyak perniagaan dan aktiviti pada fasa keduanya bagi mengurangi kawalan pada Ahad ini. Antara perniagaan dan tempat yang dijangka akan dibuka semula ialah pusat membeli-belah (termasuk teater, boling dan kedai jimat), restoran dan tempat makan dalam bangunan, kedai dan kedai borong.

Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan satu mesyuarat pada Jumaat bagi memuktamadkan jenis perniagaan dan tempat yang akan dibenar dibuka semula.

Pada 3 Mei, enam jenis perniagaan dan tempat di seluruh negara telah dibuka semula beserta garis panduan bagi mengelakkan gelombang kedua jangkitan COVID-19. Ia ialah pasar, tempat makanan di luar pusat membeli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan luar, kedai dan salun gunting rambut (dihadkan kepada memotong, mencuci dan mengeringkan rambut) dan kedai dan hotel haiwan peliharaan. – Bernama

Suara Sarawak