Covid-19: Tiada kes positif di Sarawak hari ini

KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 1,072.

Selain itu, katanya tiada kluster baharu dilaporkan, dengan empat kluster masih aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas, kesemuanya di Daerah Kuching.

Sementara, terdapat empat kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,041 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala, JPBNS berkata jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 12 orang iaitu sembilan kes di HUS dan tiga kes di Hospital Miri.

Kenyataan itu menambah terdapat 39 PUI baru telah dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Katanya Daerah Serian dan Kuching kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Serian (2) dan Kuching (1).

Manakala 38 buah daerah lain kekal berstatus hijau.