CPPC durian pertama di Sarawak

KUCHING: Pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk-produk pertanian (CPPC) yang pertama di Sarawak akan memulakan operasinya di Tarat, kira-kira 45 kilometer dari sini pada 20 Jan ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf premis CPPC berkenaan yang pernah digunakan untuk pemprosesan lada sebelum ini, telah siap dengan kos kira-kira RM5.6 juta, dan sebaik sahaja beroperasi, ia dijangka dapat meningkatkan eksport produk durian dari Sarawak.

“Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di bawah Jabatan Pertanian di negeri ini dan firma pengeksport buah tempatan, Top Fruit Sarawak Sdn Bhd, diberi tanggungjawab mengendalikannya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung lawatannya ke CPPC berkenaan, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata pusat itu akan digunakan untuk menghasilkan pulpa dan pes durian yang akan dieksport terus ke China.

Beliau berkata kemudahan di pusat itu telah memenuhi standard untuk membolehkannya memperolehi pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

Uggah berkata para petani di kawasan sekitar Tarat turut dialu-alukan supaya menjual hasil tanaman mereka ke pusat berkenaan dan menurutnya sebuah lagi pusat seumpama itu sedang dibangunkan di Simpang Layar di Betong.

Untuk tahun ini, Sarawak telah menjual 100 tan pes durian ke China dan menyasarkan peningkatan 100 tan lagi pada musim durian akan datang. – Bernama