ARTIKEL

CREST kini agensi MITI, seiring sasaran Malaysia tubuhkan syarikat fabrikasi wafer pertama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), entiti diterajui industri yang dilancarkan pada 2012 bagi memenuhi keperluan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dengan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan serta pembangunan bakat, kini secara rasminya adalah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata CREST adalah penambahan strategik terhadap ekosistem MITI berikutan tumpuannya kepada industri E&E sebagai antara sektor yang meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). 

“MITI mengalu-alukan kehadiran CREST sebagai agensi di bawah kementerian ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penyertaan CREST dalam ekosistem MITI bukan sahaja wajar, malah tepat pada masanya bagi menawarkan sokongan utama ke arah penubuhan syarikat fabrikasi wafer pertama Malaysia dan lima syarikat reka bentuk litar bersepadu, seperti yang digariskan dalam NIMP 2030 yang dilancarkan baru-baru ini.

Ahli CREST terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, industri dan akademia, satu model yang memberi tumpuan untuk membangunkan sokongan holistik bagi pertumbuhan mampan industri E&E.

Tengku Zafrul berkata, melangkaui pelaksanaan langkah-langkah awal yang ditetapkan NIMP 2030, CREST juga akan menjadi antara agensi utama MITI untuk melonjakkan kedudukan industri semikonduktor Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Ini seterusnya, akan membantu meningkatkan eksport E&E, yang menyumbang secara langsung kepada pendapatan pertukaran asing, dan sasaran Ekonomi MADANI untuk meletakkan negara dalam kedudukan 30 ekonomi teratas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim berkata agensi berkenaan gembira menjadi sebahagian daripada MITI, dan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama adalah bukti kepada komitmen CREST untuk memacu inovasi dan kecemerlangan dalam penyelidikan dan teknologi.

“Kami teruja untuk menyumbang kepakaran dan sumber kami terhadap kejayaan NIMP 2030 yang dilancarkan baru-baru ini dan memangkin pertumbuhan industri E&E.

Kami berharap untuk bekerjasama dengan MITI dalam memacu pertumbuhan ekonomi menerusi inovasi, kerjasama dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Kewujudan CREST dalam tempoh 11 tahun ini telah menyaksikannya sebagai platform utama untuk penyelidikan gunaan kolaboratif dalam E&E, membolehkan industri berkembang maju untuk meraih kejayaan meliputi industri berkaitan, geografi dan pasaran utama.

Pada 2022, eksport E&E bernilai RM592.96 bilion, menyumbang sebanyak 38.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Sektor ini menarik sebanyak 106 projek pelaburan bernilai RM29.3 bilion pada tahun yang sama.

Dari segi pekerjaan, sebanyak 9,099 pekerjaan bergaji tinggi di peringkat pengurusan, teknikal dan penyeliaan telah diwujudkan, iaitu tertinggi dalam kalangan semua industri pada 2022. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

Majukan sektor pertanian

MUKAH: Dalam memajukan sektor pertanian Sarawak, rakyat perlu terus memandang ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian