Cuaca baik, banjir beberapa negeri beransur pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri beransur pulih dengan jumlah mangsa semakin susut setakat pagi ini.

Di TERENGGANU, situasi banjir di negeri itu pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir di Dewan Orang Ramai Kampung Minda, Dungun ditutup secara rasmi, 9 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol Che Adam A Rahman berkata dengan penutupan itu, operasi Bilik Gerakan Bencana Daerah Dungun juga ditamatkan.

Keadaan di JOHOR turut menunjukkan perubahan positif apabila jumlah mangsa banjir terus menyusut kepada 1,229 orang daripada 303 keluarga setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa ditempatkan di 23 PPS melibatkan lima daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Segamat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 580 orang diikuti Kota Tinggi 267 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Tan memaklumkan empat laluan di dua daerah iaitu Segamat meliputi Jalan Paya Balai Badang, Jalan Putting serta Jalan Tumang manakala di Mersing melibatkan Jalan Tanah Abang masih lagi ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan selepas dinaiki air.

Di PAHANG jumlah mangsa banjir kekal 386 orang daripada 105 keluarga di empat PPS di Rompin, Bera dan Temerloh.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 8 pagi ini, daerah Rompin yang terjejas teruk akibat banjir sejak Ahad lalu kini semakin pulih apabila hanya 26 mangsa daripada enam keluarga masih berada di Balai Raya Kampung Rekoh.

Temerloh kekal mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 318 orang daripada 88 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor, manakala SK Bukit Cermin dihuni 33 orang daripada sembilan keluarga.

Di Bera, hanya PPS Kompleks Rakan Muda masih beroperasi dengan sembilan mangsa daripada dua keluarga.

Namun di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 2,642 orang daripada 903 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 2,304 orang melibatkan 731 keluarga pada malam tadi.

Aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,853 orang daripada 701 keluarga di sembilan PPS, diikuti Tanah Merah seramai 537 mangsa (134 keluarga) di 10 PPS dan seterusnya di Jeli, 252 mangsa daripada 68 keluarga di tiga PPS.

Laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya pada bacaan 10.43 meter (bahaya 9 meter) manakala semua sungai utama lain sudah berada pada paras normal.

Di SABAH, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata 1,763 mangsa telah dipindahkan ke 15 PPS setakat 10 pagi tadi, berbanding 1,195, malam tadi.

Jumlah itu membabitkan 549 keluarga daripada 16 kampung antaranya Kampung Gumisi Laut, Kampung Gumisi Ulu, Kampung Maugus, Kampung Enubai, Kampung Ponontomon, Kampung Pantongan Saga, Kampung Belumbung Seberang dan Kampung Pulungan.

Turut terjejas dalam banjir itu ialah Labut 1; Labut 2; Kampung Angalor, Kampung Sindungon, Kampung Tumantalik, Kampung Mandalom Lama dan Kampung Batu-Batu.

Di Beaufort dan Membakut, 106 mangsa daripada 33 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Selagon, setakat 10 pagi ini.

Sebanyak 23 kampung masing-masing enam di Beaufort dan 17 di Membakut terjejas banjir berikutan kenaikan paras air sungai di kedua-dua daerah berkenaan.

Bacaan paras air Sungai Padas dan Sungai Membakut juga meningkat ke paras bahaya.

Bagaimanapun, di Tenom keadaan terkawal dan dijangka banyak PPS akan ditutup pada 4 petang ini, kata Pegawai Daerah Tenom Sungkim Rumangon.

“Ini berikutan paras air Sungai Padas, Sungai Pagalan dan Sungai Ponontomon sudah mulai surut termasuk sungai-sungai kecil berhampiran,” katanya.