ARTIKEL

Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim

Cuaca panas di utara Sarawak boleh mencecah 36 hingga 37 darjah Celsius

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sarawak pada amnya tidak dijangka akan mengalami cuaca panas yang melampau namun beberapa bahagian di kawasan utara negeri ini boleh mengalami cuaca panas setinggi 36 hingga 37 darjah Celsius kesan daripada taburan hujan yang kurang di kawasan tersebut.

Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim, berkata suhu tertinggi yang dicatatkan semalam (26 Mac 2024) adalah 35.6 darjah Celsius di kawasan Nanga Medamit, Limbang.

“Terdapat beberapa bahagian lain seperti Miri, Mukah dan Sibu yang turut mencatatkan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius dalam beberapa hari sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, buat masa sekarang, suhu maksimum dijangka kekal tinggi antara 35 hingga 37 darjah Celsius terutama di kawasan utara dan juga kawasan Pantai Tengah Sarawak.

Bagaimanapun, Khairul berkata kebakaran hutan tidak menyebabkan peningkatan suhu pada sesuatu kawasan yang berskala besar.

Katanya ia hanya melibatkan tempat di sekitar kawasan berlaku kebakaran sahaja.

“Namun cuaca kering dan suhu tinggi boleh menyebabkan peningkatan risiko kejadian kebakaran hutan,” katanya.

Selain itu, Khairul berkata sebahagian daripada punca peningkatan suhu turut adalah kesan El-Nino yang sedang berlaku dan dijangka akan berlarutan hingga suku kedua tahun ini.

“Fenomena ini menyebabkan kurangnya taburan hujan yang diterima, terutamanya di kawasan utara Sarawak, dan seterusnya boleh meningkatkan suhu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata buat masa sekarang hujan lebih tertumpu di kawasan selatan, barat dan tengah Sarawak manakala keadaan lebih kering berlaku di kawasan utara Sarawak.

Menurutnya, secara amnya negara termasuk Sarawak akan mengalami tempoh peralihan monsun bermula 29 Mac hingga Mei tahun ini, sebelum mengalami Monsun Barat Daya yang lebih kering hingga September kelak.

Bagi Sarawak, Khairul berkata ciri-ciri utama semasa tempoh peralihan monsun ialah hujan dan ribut petir pada waktu petang dan kadang kala boleh berlarutan hingga ke awal malam, terutama di kawasan tengah dan selatan Sarawak.

“Keadaan ribut petir dan hujan ini kadang kala disertai oleh angin kencang yang boleh menimbulkan risiko kepada binaan-binaan yang tidak kukuh,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca dari sumber yang sahih, mengurangkan aktiviti luar dan di kawasan terbuka bagi mengurangkan kesan akibat cuaca panas serta tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan risiko kebakaran hutan dan keadaan jerebu setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rampa menua meruan beresi

Aum Parti-Parti (COP) Konvensyen Langkar Pengawa Ubah Klimet Gerempung Bansa Beserakup (UNFCC) ngempuru bemacham raban pemegai taruh antarabansa ari dunya dagang, perintah enggau komuniti sivil.