KUCHING: Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Itu yang boleh digambarkan semangat rakyat Sarawak yang menunggu ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Lebuh raya Pan Borneo hari ini meskipun cuaca panas.

Rakyat menunggu di tepi jalan berjam-jam, mengenakan pakaian tradisional, seragam kerja, dan bahkan menari tarian tradisi untuk menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong.
Momen bersejarah ini juga dimanfaatkan oleh masyarakat untuk merakam video, mengemaskini media sosial, dan mengejar detik-detik bersejarah ketika rombongan institusi Diraja di Malaysia tiba di Bumi Kenyalang.
Sambutan ini melibatkan hampir 10,000 orang dari berbagai peringkat umur, yang turut serta dalam menghormati YDPA.
Perjalanan Agong hari ini bermula dari Pasar Sentral Sibu dan disambut meriah oleh rakyat jelata sepanjang laluan mereka, terutamanya di Sibu Jaya, Julau, Sebangkoi, Pusa, Saratok, Layar Betong, Sri Aman, Serian, dan Kuching.
Tidak lupa juga pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), juga dikenali sebagai Wira Biru, bersama dengan anggota trafik telah melaksanakan tugas dengan baik di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik bagi Konvoi Kembara Kenali Borneo.
Rombongan utama konvoi ini terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan putera-putera baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, dan Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Seri Paduka Baginda juga meninggalkan kesan positif dengan titah “Saya Agong untuk rakyat dan sayang semua,” yang juga mengajar masyarakat tentang istilah, protokol, dan gelaran kerabat diraja serta memberi mereka peluang untuk lebih mengenali Borneo.
Rombongan konvoi KKB akan mengakhiri perjalanan mereka dengan tiba di destinasi terakhir, iaitu 0.0 kilometer, Telok Melano esok hari.