KUCHING: Seorang guru sekolah rendah diperintahkan bon menjaga keamanan di bawah Seksyen 67 Kanun Tata Jenayah oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana berkelakuan tidak wajar hingga menimbulkan ketidakselesaan seorang murid perempuan darjah enam.
Majistret Zaiton Anuar memerintahkan lelaki berusia 52 tahun itu bon menjaga keamanan selama enam bulan dengan deposit tunai RM1,000 selepas mengaku bersalah atas perbuatan terbabit.
Dia didakwa melakukan perbuatan tidak wajar itu di sebuah sekolah rendah di Taman BDC, Stampin sekitar jam 4.40 petang, 10 Ogos lalu.
Menurut fakta kes, tertuduh yang masih bertugas sebagai guru di sekolah berkenaan telah mengarahkan mangsa datang ke pejabatnya seorang diri dan menyuruh mangsa menutup pintu untuk berdua-duaan bagi mengelakkan daripada dilihat oleh guru atau murid lain.
Semasa kejadian, tertuduh telah memberikan satu kotak hadiah berisi bunga plastik dan anak patung beruang kepada mangsa.
Mangsa juga menyatakan bahawa kejadian terbabit menimbulkan rasa takut, risau dan tidak selesa kerana berdua-duaan dengan tertuduh.
Selain itu, tertuduh meminta mangsa agar menukar panggilan cikgu kepada kepada ‘daddy’.
Selepas kejadian terbabit, mangsa mengaku mengalami gangguan emosi.
Perbuatan guru terbabit diketahui pengadu (ibu mangsa) selepas menerima panggilan daripada ibu rakan sekelas mangsa bahawa anaknya ada menceritakan kejadian itu kepada empat orang rakannya.
Pengadu bertanya kepada mangsa untuk mengesahkan kejadian terbabit, dan seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut lalu membawa kepada penangkapan tertuduh pada 24 Ogos lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.