Cuba nasib dalam pesta demokrasi

SARAWAK yang bakal menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dijangka selewat-lewatnya pada 2021 bakal menyaksikan lebih banyak lagi peristiwa politik.

Negeri Sarawak bakal menjadi tumpuan parti politik yang ingin mencuba nasib dalam PRN-12 nanti.
Terbaharu, Parti Bumi Kenyalang (PBK) secara rasminya menyatakan bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN-12 nanti.

Bagaimanakah nasib PBK nanti? Mampukan ia memenangi sebarang kerusi?

Parti yang terdiri daripada pelbagai kaum ini sudah pasti menambahkan kemeriahan pesta demokrasi di Sarawak semasa PRN-12 nanti.

Persoalannya, adakah PBK mampu memetakan diri dalam politik Sarawak selepas PRN-12 nanti?
Sejauh manakah penerimaan rakyat Sarawak terhadap PBK? Persoalan ini menarik untuk dirungkai.

Kemunculan parti baharu atau penjenamaan semula parti lama sudah pasti menyuburkan lagi proses demokrasi di Sarawak.

Secara teorinya, lebih banyak parti politik bertanding dalam pilihan raya, maka ia dapat menyerlahkan demokrasi dalam sesebuah negara dengan penyertaan atau keterlibatan rakyat dalam parti politik atau proses demokrasi itu sendiri.

Siapa Terbaik

Maka, rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan siapa yang terbaik untuk dipilih menyuarakan suara serta keluh-kesah mereka.

Namun begitu, kemunculan banyak parti bertanding dalam pilihan raya juga merupakan salah satu strategi politik untuk memecahkan undi yang sudah pasti memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.

Persoalannya, adakah kemunculan parti politik seperti PBK, PBDSB, PSB dan lain-lain ini bertujuan untuk kesuburan proses demokrasi atau memecahkan undi dalam pilihan raya?

Siapakah yang mendapat merit dalam strategi politik sebegini? Sama-sama kita renungkan.
Dinamika politik Sarawak sudah pasti menjadi tumpuan menjelang PRN-12 nanti.

Beberapa minggu lepas, PKR melalui Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PKR Sarawak khususnya dan PH memfokuskan serta bersedia dengan strategi untuk menempuh PRN-12 nanti.

Kenyataan Presiden PKR ini menunjukkan beliau sedar kurangnya gerak kerja parti tersebut di akar umbi di beberapa kawasan di Sarawak dalam merencana strategi untuk merealisasikan impian PH menawan Sarawak pada PRN-12 nanti.

Ironinya, setakat ini, jentera PH di beberapa kawasan dilihat tidak aktif bergerak berbanding GPS.

Hanya di sesetengah kawasan di luar bandar yang parlimen dimenangi PH semasa PRU-14 lepas amat aktif wakil rakyatnya bergerak seperti di Lubok Antu dan Saratok.

Ini mungkin kerana tempat lain kurang mendapat pendedahan media atau memang PH tidak aktif.

Akar Umbi

Media sekarang di tangan parti pemerintah PH dan amat pelik sekiranya media di bawah seliaan PH tidak mendedahkan aktiviti yang dilakukan para pemimpinnya di akar umbi terutama di luar bandar.

Yang penting, PH perlu memastikan segala janji dalam manifesto semasa PRU-14 lepas perlu ditunaikan bagi meyakinkan rakyat Sarawak mereka merupakan parti yang harus dipilih semasa PRN-12 nanti.

Malah, kekecewaan rakyat di luar bandar terhadap Kerajaan Persekutuan dalam menyantuni rakyat menyerlahkan kewibawaan pimpinan kerajaan negeri GPS yang cakna dengan permasalahan rakyat.

Janji meringankan beban kos sara hidup rakyat yang masih diusahakan Kerajaan Persekutuan amat memberi kesan kepada seluruh lapisan rakyat terutama di luar bandar.

Dalam menyantuni rakyat Sarawak, PH perlu merangka strategi padu kerana setakat ini mereka dilihat tidak menyerlah berbanding GPS.

PH perlu cakna kepada permasalahan yang dihadapi rakyat Sarawak terutama di luar bandar. Perbezaan ideologi politik harus diketepikan dalam merencana serta melaksanakan dasar yang memberi faedah kepada rakyat.

Rakyat Sarawak harus mendapat kelebihan kerana di peringkat persekutuan dan negeri ditadbir parti politik yang membentuk kerajaan berbeza iaitu PH dan GPS.

Sepatutnya, limpahan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih banyak berbanding sebelum ini dengan usaha kedua-dua kerajaan. Kawasan luar bandar harus diutamakan kerana majoriti rakyat di Sarawak masih berada di luar bandar.

Selain itu, sekiranya benar desas-desus yang diperkatakan semasa minggu sambutan Hari Gawai Dayak dan Aidilfitri lepas berlaku rombakan kabinet dalam Kerajaan Sarawak dalam masa terdekat ini, ia pasti akan merubah corak politik di Sarawak.

Hala Tuju

Ini pasti menunjukkan hala tuju GPS dalam mendepani serta merencanakan strategi bagi menempuh PRN-12 nanti.

GPS perlu berani membuat keputusan dengan mengeluarkan ahli PSB yang menyertai barisan Kabinet Sarawak supaya parti komponen yang membentuk GPS seperti SUPP dan PRS selesa berada dalam gabungan tersebut.

PSB harus diketepikan daripada bayang-bayang GPS kerana kebanyakan ahli PSB menyatakan mereka merupakan penyokong GPS dengan menyokong Ketua Menteri. Namun, dari sudut lain, PSB dilihat ingin memporak-perandakan parti komponen dalam GPS iaitu SUPP dan PRS.

Persoalanya, apakah tujuan PSB ini sebenarnya? Oleh itu, GPS perlu menendang keluar PSB daripada bayang-bayang GPS. Tanpa PSB, GPS masih mendapat sokongan rakyat Sarawak.

Kerencaman serta dinamika politik Sarawak sudah pasti lebih menarik untuk di saksikan menjelang PRN-12.

Sudah pasti akan banyak lagi gimik serta olahan politik akan mewarnai pentas politik negeri Bumi Kenyalang ini.

 

• Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak