ARTIKEL

RAMPAS… Tentera Darat berjaya merampas 150 karton rokok tempatan yang cuba diseludup keluar ke Indonesia pada 22 Mac lepas.

Cubaan seludup 150 karton rokok tempatan ke negara jiran berjaya dipatahkan tentera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BA’KELALAN: Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) Sarawak berjaya merampas sebanyak 150 karton rokok tempatan yang cuba diseludup keluar ke Indonesia pada 22 Mac lepas.

Menurut kenyataan MK PMTTD, usaha menyeludup keluar rokok jenama Premium dan Era berkenaan berjaya dipatahkan oleh pasukan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Sektor Op Jagakawan.

“Pada jam 1.30 petang, sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Kampung Punang Kelalan, Ba’kelalan iaitu jarak lebih kurang 1,200 meter dari sempadan Indonesia telah menjumpai tiga bungkusan hitam yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat 150 karton rokok di dalam bungkusan tersebut di mana 100 karton rokok adalah rokok jenama Premium manakala 50 karton lagi adalah jenama Era,” kenyataan itu melaporkan.

Tambah MK PMTTD, kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM8,250.

Laporan polis, katanya, telah dibuat di Pondok Polis Ba’kelalan dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.

“Tentera Darat terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” kenyataan itu menyebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU