ARTIKEL

RAMPASAN TERBESAR... Norizan (tengah) bersama pegawai JKDM Sarawak yang lain menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak di sini, hari ini. - Foto Ghazali Bujang

Cubaan seludup 46 kg syabu bernilai RM1.5 juta dalam peket teh berjaya dipatahkan Kastam Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Bungkus dadah menggunakan peket teh dan sembunyikan dalam pakaian terpakai (bundle) menjadi taktik baharu sindiket penyeludupan dadah di sini yang berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata modus operandi untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu bagaimanapun berjaya dikesan sehingga membawa kepada tangkapan ke atas seorang ahli sindiket pada 6 Mac lalu dengan rampasan sebanyak 46 kilogram methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM1.5 juta.

Menjelas lanjut, beliau berkata tangkapan itu dibuat oleh Cawangan Narkotik, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), dengan kerjasama Pasukan Cawangan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerusi serbuan ke atas sebuah rumah di Matang, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua dadah itu dibungkus menggunakan peket teh Guan Yin Wang dan disembunyikan dalam empat bungkusan pakaian terpakai yang diletakkan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan seramai lebih 450,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak di sini, hari ini.

Norizan menambah, kesemua dadah itu dibawa masuk dari Semenanjung menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek iaitu lelaki tempatan berusia lewat 20-an itu bertanggungjawab melakukan agihan dan penghantaran kepada pelanggan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, berdasarkan sumber, sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

“Mahkamah Majistret Kuching telah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula 7 Mac lalu ke atas lelaki tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Norizan berkata pihaknya juga telah menggerakkan usaha untuk mengesan beberapa lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan rampasan dadah tersebut dan optimis dapat menjejak keberadaan mereka.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 kali sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, Norizan berkata tangkapan itu merupakan yang terbesar setakat ini pada tahun ini, selepas pihaknya menumpaskan dua kes pada Januari lalu yang melibatkan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan.

Katanya kes pertama adalah pada 11 Januari lalu apabila seorang lelaki ditangkap di Lapangan Terbang Sibu dengan membawa sebanyak 15 kilogram syabu.

Manakala tangkapan kedua pada 31 Januari lalu di Lapangan Terbang Miri dengan rampasan syabu sebanyak 15 kilogram.

“Dari Januari hingga 12 Mac 2024, kita telah merekodkan rampasan sebanyak 87.8 kilogram pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta,” kata Norizan.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit telah direman hingga sebutan semula kes di mahkamah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Festival Air Sedunia Maha Songkran bermula di Thailand

Bangkok, Thailand: Kerajaan Thailand semalam melancarkan Festival Air Sedunia Maha Songkran 2024 bagi mempamerkan pelbagai tradisi negara itu sempena Songkran atau permulaan Tahun Baharu Thailand yang disambut setiap