Trending

Cubaan seludup minyak diesel hampir RM2 juta gagal

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

TERBONGKAR…Sebuah kapal minyak sedang membuat transaksi memindahkan minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseludup dari sebuah kapal tongkang dipatahkan pasukan PGA dan KPDN Miri dalam Op Kontraban pada Khamis.

MIRI: Pasukan Risikan Pasukan Gerakan Am 12 (PGA) Miri berjaya mematahkan cubaan menyeleweng minyak diesel 630,000 liter yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, serbuan dan pemeriksaan telah dilakukan dalam Op Kontraban kira-kira jam 11.15 pagi Khamis di Tebingan Sungai Baong, Miri.

Ops Kontraban itu diketuai seorang Pegawai Kanan Polis dan tujuh Pegawai Rendah Polis serta empat Pegawai dan Anggota dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal minyak sedang membuat transaksi memindahkan minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseludup dari sebuah kapal tongkang dan sejumlah minyak diesel didapati disimpan di dalam tangki kapal minyak dan kapal tongkang tersebut,” katanya pada Jumaat.

Menurut Alexson, setelah disoal-siasat, kedua-dua kapten kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah atas pemilikan minyak diesel tersebut.

Kedua-dua kapten tersebut ditangkap dan kapal minyak, kapal tongkang serta kesemua minyak diesel dan barangan lain dirampas untuk siasatan lanjut.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM7.7 juta membabitkan sebuah kapal minyak (RM3.2 juta), dan sebuah kapal tongkang (RM2.5 juta).

Turut dirampas minyak diesel sebanyak 50,000 liter di dalam muatan kapal minyak (RM159,000), minyak diesel, kuantiti sebanyak 580,000 liter di dalam muatan kapal tongkang (RM1.8 juta), seunit meter minyak di dalam kapal minyak (RM5000), dan hos dawai keluli bersaiz tiga inci sepanjang 20 meter di dalam kapal minyak (RM1000).

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru