BAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan dua tekong warga tempatan menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia di kawasan ladang kelapa sawit, Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) di sini, hari ini.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan berumur 26 dan 31 tahun, manakala dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia itu berumur 22 hingga 39 tahun.
Katanya, anggota yang sedang melaksanakan penugasan serkap bersama satu seksyen telah mengesan kehadiran dua buah motosikal memasuki sempadan Malaysia melalui jalan ladang kelapa sawit kira-kira jam 7.10 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati Pati yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tiada barang terlarang dijumpai.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7,620.76 melibatkan dua buah motosikal, enam buah telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Bau dan kesemua yang ditahan beserta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
