Cubaan tiga lelak seludup tong gas berjaya dipatahkan

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menerusi Ops Libas mematahkan cubaan tiga lelaki menyeludup keluar tong gas cecair petroleum (LPF) di kawasan Kompleks ICQS Tebedu, petang semalam.

Dua lelaki tempatan berumur 49 tahun dan 48 tahun termasuk seorang lelaki warga asing berumur 25 tahun menggunakan dua buah kenderaan jenis Luxio, telah ditahan kira-kira jam 2.40 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 11, PGA Sarawak, Superintenden Rosdi Inai berkata pemeriksaan diketuai oleh Inspektor Lokman Adli termasuk tiga pegawai SPRM mengenalpasti dua kenderaan yang membawa 102 tong gas LPG jenama Petronas, disyaki telah melakukan kesalahan cubaan menyeludup keluar ke Indonesia melalui Tebedu Sarawak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pemilikan sah terhadap dua kenderaan tersebut yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu.

“Dalam pada itu, suspek dua lelaki tempatan turut dirujuk kepada SPRM Sarawak kerana cuba menawarkan dan memberikan wang sogokan RM10,000.00 sebagai cara lari dari diambil tindakan undang-undang,

“Mereka ditahan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi,

“Manakala seorang pemandu warganegara Indonesia turut ditangkap bagi membantu siasatan,

“Nilai rampasan dianggarkan RM179,300.00 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.