KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak (CNS) mencadangkan agar penjawat awam selain dalam kategori petugas barisan hadapan dibenarkan untuk bekerja dari rumah sekiranya kes positif harian Covid-19 masih menunjukkan peningkatan.
Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, perkara tersebut juga dilihat sesuai susulan situasi semasa penularan Covid-19 sejak beberapa minggu yang lalu khususnya di Zon Selatan Sarawak.
“Kami (CNS) dimaklumkan sekarang terdapat banyak juga jabatan-jabatan kerajaan yang ditutup sementara untuk tempoh tiga hari ke dua minggu bagi mengelak penularan Covid-19 secara lebih luas.
“Penutupan tersebut juga adalah untuk tujuan sanitasi atau terdapat kakitangan yang positif Covid-19 serta menjalani dikuarantin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya CNS berharap agar kerajaan dapat mempertimbang perkara berkenaan bagi tempoh tertentu melalui ketua jabatan masing-masing.