Cuepacs Sarawak, mahu penjawat awam diberikan keutamaan Vaksinasi covid-19

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Sarawak berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyegerakan pemberian vaksin Covid-19 kepada semua penjawat awam.

Menurut Pengerusinya Omar Bahrein Unin, cadangan tersebut bukan hendak menidakkan golongan sasar yang lain tetapi bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan oleh penjawat awam kepada masyarakat.

“Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini kepada semua penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran Malaysia.

“Ini membolehkan mereka meneruskan peranan menjayakan agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemberian vaksin berkenaan juga dapat mengurang masalah penjawat awam yang biasa melaksanakan tugasan di lapangan dan tidak perlu lagi bekerja dari rumah (BDR).

“Ia juga mengurangkan risiko jangkitan kerana kebanyakan mereka memberikan perkhidmatan secara bersemuka kepada rakyat,” ujarnya.

Suara Sarawak