Cukai jangan sampai bebankan rakyat

TIGA hari lalu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memberitahu tentang kesediaan Kerajaan PH untuk mengembalikan pelaksanaan GST sekiranya rakyat mahukannya.

Persoalannya, perlukah kajian semula diadakan? Adakah GST memang lebih baik daripada SST.

Hakikatnya, tidak mudah untuk mengubah dari satu sistem cukai ke satu sistem cukai yang lain. Sebelum ini kita telah pun menukar daripada GST kepada SST.

Bersediakah kita melakukannya sekali lagi? Sudahlah kita menjadi negara pertama daripada lebih daripada 160 negara menukar GST kepada SST, tidak dapat dibayangkan kalau sekali lagi kita melakukan perubahan.

Adakah ini yang dikatakan Malaysia Boleh?

Kalaupun hendak menukar sistem sedia ada, pelaksanaan semula GST memerlukan mandat jelas daripada rakyat.

Enam Peratus

Rakyat membuat keputusan jelas menolak GST enam peratus dalam pilihan raya umum lepas.

Mana-mana sistem sebenarnya mempunyai kelebihan, kekurangan, kebaikan dan keburukan.

Tiada sistem yang sempurna. Ada pihak yang menyatakan bahawa kerajaan berjaya mengawal inflasi apabila GST dimansuhkan, yang merupakan janji PH dalam manifestonya.

Dalam pada itu, kajian untuk melaksanakan semula GST mendapat pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian daripadanya menyifatkan kaedah itu sebagai lebih adil dan cekap berbanding SST diamalkan ketika ini.

Pada hemat penulis, aspek sebenar yang perlu dikaji ialah impak cukai terhadap rakyat tidak kira GST ataupun SST. Ini kerana pada masa kini golongan berpendapatan sederhana sudah termasuk dalam kategori miskin bandar lantaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dengan kos sara hidup yang semakin menekan, tentu mereka tidak mahu sebarang sistem cukai memberi tekanan tambahan kepada mereka.

GST Dimansuhkan

Malah, ada yang beranggapan GST dilihat lebih baik berbanding SST yang dianggap merugikan kerajaan.

GST dilaksanakan sejak 1 April 2015 dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan SST.

Namun, akhirnya jika benar GST dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama, kerajaan PH perlu mempertimbangkan secara serius saranan berkenaan.

Suara Sarawak