Cukai perkhidmatan e-dagang di Sarawak sudah berkuat kuasa sejak 1 Jan

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak sudah mula menguatkuasakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan e-dagang di negeri ini sejak 1 Jan lepas, kata Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha semalam.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak yang terbabit dengan perkhidmatan e-dagang di negeri ini untuk mendaftarkan perkhidmatan mereka dengan jabatan itu bagi mendapatkan lesen untuk perkhidmatan mereka itu.

“Perkhidmatan e-dagang ini merupakan satu perkhidmatan yang popular di era masa kini. Mana-mana pihak yang terlibat dengan perkhidmatan ini perlu dilesenkan di bawah Cukai Perkhidmatan,” katanya semasa merasmikan Hari Bertemu Pelanggan JKDM Sarawak sempena Hari Kastam Sedunia Ke-38 di sini.

Menurutnya perkhidmatan e-dagang melibatkan perkhidmatan digital seperti Netflix, Spotify, atau perkhidmatan pengiklanan yang dibuat oleh Google dan perkhidmatan pengedaran e-sukan oleh Steam.

Katanya memandangkan pendaftaran dan pelesenan perkhidmatan terbabit dengan jabatan itu adalah berpangkalan di Putrajaya, beliau tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai bilangan penyedia perkhidmatan e-dagang di  Sarawak yang sudah berdaftar untuk cukai berkenaan. – Bernama

Suara Sarawak