Cukup terasa tanpa paluan gong dan tarian Singa

SIMANGGANG: Biarpun ketibaan Tahun Baharu Cina (TBC) kali ini cukup terasa tanpa paluan gong dan tarian Singa, suasana yang berbeza ini diharap terus dapat memupuk semangat kesejahteraan dalam komuniti.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, ekoran pandemik Covid-19 TBC diraikan dalam suasana yang sangat berbeza.

“Tiada paluan gong bergema dan tarian Singa yang lazimnya menandakan tibanya musim perayaan.

“Perayaan yang dahulunya disambut meriah dengan tradisi kunjung-mengunjung, kini disekat.

“Justeru, sambutan dengan norma baharu ini memberi kesan kepada kemeriahan perayaan,

“Walau bagaimanapun, diharapkan suasana yang berbeza ini boleh terus memupuk semangat kesejahteraan dalam komuniti,” katanya dalam amanat perayaan TBC, hari ini.

Adun Simanggang itu menyeru masyarakat di kawasannya agar memanfaatkan teknologi komunikasi sebaik mungkin.

“Berhubunglah melalui platform media sosial dengan sanak-saudara, rakan taulan dan sahabat handai yang tidak dapat meraikan TBC bersama-sama.

“Saya percaya, suasana musim perayaan akan dapat dirasai, seterusnya ukhuwah akan terus terjalin,” ujarnya.

Tambahnya, semua pihak harus menghargai erti kebebasan jika pandemik tamat suatu hari kelak.

Harden mengucapkan selamat menyambut Tahun Lembu kepada masyarakat Tiong Hua di negeri ini khususnya.

“Saya serta keluarga mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Cina di seluruh negeri Sarawak amnya dan di kawasan Simanggang khususnya.

“Sambil kita bergembira, patuhi SOP demi mengekang penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Suara Sarawak