Cuma bayar RM300 sebulan

KUCHING: Seramai 104 penduduk Kampung Bunga Rampai, Bau di sini menerima surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik daripada Kerajaan Sarawak, semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, penduduk kampung tersebut merupakan kumpulan pertama menerima manfaat daripada projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.
“Pada tahun lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sarawak akan membina 2,500 unit Rumah Mampu Milik.
“Namun selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018, mereka tidak menyediakan peruntukan membina rumah mampu milik. “Kemudian, Kampung Bunga Rampai di sini menjadi kumpulan pertama projek ini dan 104 penduduk menerima surat tawaran mereka untuk Projek Rumah Mampu Milik hari ini (semalam),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik di Kampung Bunga Rampai di sini, semalam.

DR Sim Kuih Hian menyerahkan surat tawaran Rumah Mampu Milik kepada penduduk di Kampung Bunga Rampai, Kuching, semalam. Foto RAMIDI SUBARI

Kui Hian menambah, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewujudkan institusi kewangan sendiri untuk membantu penerima dalam pinjaman kewangan perumahan.
“Kebanyakan penerima untuk projek ini tidak mampu untuk meminjam wang daripada institusi perbankan dan bank juga tidak mahu memberi pinjaman untuk tujuan membeli rumah. “Menerusi Mutiara Finance yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, kita akan meminjamkan wang untuk mereka yang mahu membeli rumah mampu milik sendiri,” jelas beliau.
Menurut Kui Hian lagi, setiap rumah yang dibiayai di bawah Mutiara Finance hanya perlu membayar sekitar RM200 hingga RM300 lebih sebulan.
“Untuk itu, kita akan membina lebih 2,500 unit rumah seperti yang disasarkan oleh Ketua Menteri kepada Pembangunan Perumahan (HDC). “Tujuan kita membina banyak unit rumah ini kerana kita berasakan rumah adalah perkara yang amat penting untuk rakyat Sarawak.
“Jika anda membeli kereta, nilainya akan turun selepas bertahun lama. ”Tetapi jika anda membeli rumah, nilainya akan sentiasa meningkat dan anda mempunyai bumbung untuk berteduh. “Inilah sebab mengapa Kerajaan Sarawak mahu membantu seramai mungkin rakyat kita untuk memiliki rumah sendiri,” ujar beliau.
Untuk rekod, rumah mampu milik di Kampung Bunga Rampai, Bau siap awal dari tempoh yang ditetapkan iaitu selama 21 bulan.
Projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM21.9 juta dan dua jenis rumah teres yang berukuran 750 kaki persegi. Penerima di Kampung Bunga Rampai akan dapat mendiami rumah baharu mereka selepas kunci diserahkan kepada mereka dalam masa terdekat.