Cungkil potensi produk tersembunyi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foro https://pixabay.com/

PELANCONGAN desa bukan baharu di negara ini.

Hakikat ia sudah bermula sejak dari dahulu lagi.

Ia menjadi tarikan orang luar serta pelancong asing hingga memberikan punca pendapatan masyarakat setempat.

Lazimnya, pelancongan desa sering dikaitkan dengan konsep program inap desa.

Ia menjadi antara produk wajib dalam semua pelan promosi dan strategi pelancongan negeri sejak awal 1990-an.

Produk inap desa ini selalunya akan menjadi tarikan pelancong asing kerana ingin merasai kehidupan dan budaya masyarakat kampung, tetapi bukan pilihan pelancong tempatan yang lebih cenderung melakukan aktiviti di bandar dan pantai.

Apatah lagi masyarakat Malaysia kini lebih gemar mengunjungi destinasi mempunyai tarikan makanan.

Secara jelas, pelancongan desa lebih menjurus kepada inap desa ialah rumah orang awam yang menyediakan ruang atau bilik untuk disewakan kepada pelancong.

Kaedah inap desa ini bagi menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah tempat.

Sesetengah tempat yang kecil dan terpencil tidak mempunyai hotel, resort, chalet dan sebagainya.

Konsep inap desa dapat menambah pendapatan penduduk tempatan seperti orang kampung tradisional.

Kampung-kampung di seluruh Sarawak berpotensi dijadikan kawasan untuk program inap desa bagi menarik pelancong dari luar negara.

Keunikan seperti sistem kemasyarakatan, kehidupan, sosial, keadaan geografi serta sistem ekonomi, boleh menarik perhatian pelancong luar untuk mendekatinya.

Apa yang kita lihat ramai pelancong Jepun dan Eropah tidak lagi berminat melihat bangunan tinggi dan bandar besar, sebaliknya mereka ingin mengetahui budaya dan cara hidup masyarakat tempatan serta kesenian dan masakan tradisional negara yang mereka lawati.

Malah pelancong juga didapati lebih berminat tinggal di kampung bersama-sama keluarga angkat bagi membolehkan mereka mengetahui adat budaya dan kesenian masyarakat tempatan.

Malaysia mempunyai penduduk seramai 25.58 juta orang (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2004) dengan pelbagai kaum yang mempunyai adat resam hidup masing-masing.

Kaum terbesar adalah Melayu, diikuti Cina, India dan etnik-etnik lain di Sabah dan Sarawak.

Keunikan adat resam setiap kaum mempunyai potensi yang besar dalam industri pelancongan. 

Bagaimanapun, pelancongan desa masih memerlukan pemerkasaan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat, seterusnya memulihara kelestarian dari segi sumber jaya dan budaya unik serta asli.

Malaysia mempunyai lebih 17,500 kampung yang umumnya terbahagi kepada lapan kategori termasuk kampung tradisional, kampung nelayan, kampung atas air dan kampung Orang Asli.

Kampung ini bertuah kerana kaya dengan sumber jaya semula jadi desa seperti sungai, hutan, bukit-bukau dan laut.

Bukan itu sahaja, ia juga kaya dengan nilai sejarah, budaya serta warisan yang tinggi.

Malangnya, aset ini tidak digunakan secara mampan dan terancang, apatah lagi aset warisan di kebanyakan kampung tidak dipulihara serta diselenggara dengan baik. Ini kurang memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat desa hingga menyebabkan jurang pendapatan antara bandar dengan kampung masih besar.

Lebih malang, penghijrahan anak muda ke bandar menjadikan kebanyakan kampung dihuni sebahagian besar warga tua, sekali gus mengakibatkan langkah mengusahakan sumber jaya terbatas.

Selain inap desa, pelbagai jenis produk dan perkhidmatan dari sumber jaya di kampung belum dikomersialkan seperti perusahaan makanan dan minuman berasaskan hasil tani, iaitu perikanan, pertanian serta penternakan.

Perusahaan dan pengeluaran hasil tradisional kraf berasaskan sumber jaya serta kemahiran tempatan seperti wau bulan masih dihasilkan golongan warga emas di beberapa kampung, tetapi kurang dimainkan atau diminati dalam kalangan generasi muda.

Justeru, usaha sama setiap agensi pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah dengan masyarakat kampung perlu diperkemaskan.

Peranan, struktur dan penyelarasan jelas dalam setiap agensi ini perlu ada tindakan dan penyelesaian segera.

Peruntukan konsisten dan penggunaan optimum dalam pembangunan serta pengurusan pelancongan desa akan melancarkan proses kemajuan.

Malah, kerjasama strategik dengan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu digalakkan agar dapat membantu masyarakat kampung ini berkembang dengan lebih pantas.

Pembabitan institusi pendidikan dan penyelidikan seperti universiti perlu dipergiatkan dalam menghasilkan inovasi untuk membantu dalam mengenal pasti peluang serta potensi produk pelancongan masih tersembunyi di setiap kampung.

Konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dahulunya pernah menjadi antara agenda kerajaan perlu dirancakkan semula.

Pendekatan ini berjaya merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan masyarakat kampung khususnya Bumiputera dalam mengkomersilkan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Masyarakat desa juga perlu menggembleng tenaga dalam usaha ini.

Kemahiran tertentu lazimnya hanya diwarisi sesetengah keluarga perlu dituntut dan dipelajari, terutama generasi muda.

Jurang ini yang sering terjadi dalam kebanyakan kampung apabila generasi muda tidak mahir lebih berminat untuk berhijrah ke bandar, walaupun kos sara hidup jauh lebih tinggi.

Wakil masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bertanggungjawab merancang potensi sumber jaya sedia ada, selain melindungi keamanan kampung.

Masyarakat, terutama dalam kalangan ibu bapa disarankan untuk menjadikan destinasi desa negara ini sebagai aktiviti pelancongan keluarga. Jejak Desa boleh direka di rumah dan mengajak anak menerokainya ketika musim cuti persekolahan.

Aktiviti ini bukan sahaja merangsang suasana baharu kepada anak-anak, namun dapat memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan, malah perbelanjaan juga tidak mahal.

Pembangunan pelancongan desa negara perlu terus diletakkan sebagai antara komponen perancangan strategi utama ekonomi negara.

Sesungguhnya perkembangan sesebuah destinasi pelancongan memberikan kesan positif dan negatif terhadap sosioekonomi penduduk tempatan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kawal jualan vape

TREND menghisap vape kian popular dalam kalangan golongan muda. Mengikut

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja