ARTIKEL

Curang itu pilihan?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SELEPAS kisah Abang Tesla beristeri dua menjadi tumpuan netizen dan masyarakat sebelum ini, kini timbul kisah pempengaruh media sosial Alif Teega berkahwin satu lagi ketika isterinya sarat hamil.

Kedua-dua kisah ini sebenarnya mengundang rasa marah netizen kerana sebagai pempengaruh atau orang terkenal, mereka tidak sepatutnya melakukan sedemikian sebaliknya menjadi contoh kepada masyarakat.

Disebabkan kisah kedua-dua pempengaruh ini, ramai dalam kalangan suami terkena tempias dan menjadi bahan sindirin isteri masing-masing.

Kita tahu mungkin insan bergelar isteri tidak mahu suami mereka mengikut jejak kedua-dua pempengaruh ini.

Setiap manusia ada melakukan kesilapan dan kita perlu mengambil iktibar daripada kisah kedua-dua pempengaruh ini untuk membina rumah tangga yang lebih bahagia dan sejahtera.

Sebagai suami sudah pasti kita tidak mahu melihat isteri hilang kepercayaan disebabkan kecurangan yang dilakukan. Ini kerana bukan mudah untuk kita menghilangkan parut luka dalam diri mereka.

Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam tulisan di laman sosialnya menulis curang adalah satu pilihan bukan satu kesilapan.

Menurutnya, curang memberi impak besar dalam keharmonian rumah tangga.

Ini kerana kepercayaan yang dibina boleh hilang dalam sekelip mata walaupun pasangan yang melakukan perbuatan curang itu sudah berubah tetapi hati yang dicurangi tetap terdetik berasa sangsi.

Dr Mohd Fadzillah turut menyatakan, ada satu masa seseorang akan diuji dengan kesempurnaan dan kebaikan orang lain.

Masa inilah anda tidak berfikir tentang pasangan dan keluarga.

Yang ada dalam fikiran adalah orang itu ataupun dilabelkan sebagai penyondol.

Bagaimanapun, anda mungkin hanya nampak satu kesempurnaan di sebalik itu ada banyak ketidaksempurnaan yang belum terlihat.

Bayangkan jika pasangan menyedari anda mempunyai orang lain di belakangnya, sudah pasti remuk hati dan kecewa melihat sikap anda yang menduakannya.

Hari ini mungkin anda selamat tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Paksa diri anda untuk melupakan ‘teman rapat’ itu dan kembalilah kepada rumah tangga yang dibina.

Jika anda nampak keburukan pasangan saat ini, jangan terus nak ubah dia tetapi ubahlah diri anda terlebih dahulu.

Sekiranya baik budi pekerti anda, maka pasangan akan dengan sendirinya berubah.

Peringatan ini bukan sahaja untuk suami tetapi juga isteri kerana zaman sekarang banyak kes tertumpu kepada lelaki yang bermain kayu tiga.

Sebagai suami dan isteri, kita perlu menyedari hakikat perkahwinan adalah penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam.

Menerusi hubungan inilah lelaki dan wanita mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka yang dulunya diketahui keluarga dan kenalan rapat.

Dalam membina hubungan suami isteri, banyak perkara perlu diteliti supaya sentiasa seimbang, mewujudkan toleransi dan berpegang kepada tanggungjawab.

Namun sejak kebelakangan ini, banyak kes kecurangan rumah tangga berlaku.

Ada yang mendapat perhatian media, tidak kurang juga yang sekadar berlaku dalam kalangan keluarga atau teman.

Walau apa-apa pun situasinya, kisah kecurangan pasangan bukanlah isu enteng.

Berbanding lelaki, wanita selalunya menjadi mangsa dalam kes sebegini.

Bayangkan, selepas bertahun hidup bersama, mengandung dan melahirkan zuriat buat suami tercinta, mereka dihidangkan khabar yang meruntun jiwa.

Ada yang mengetahui hubungan sulit suami menerusi panggilan telefon rakan dan kenalan, menemui bukti mereka keluar bersama, mengesyaki perubahan mendadak serta paling mengecewakan apabila menjadi saksi kedua-duanya bermadu asmara.

Justeru ramai isteri menjadi bingung, hilang punca dan tertekan.

Tambahan di mata keluarga, mereka selalu nampak serasi, jarang bertelingkah mahupun berselisih faham.

Kebanyakan yang tergamak berlaku curang dalam perkahwinan adalah kaum suami.

Lazimnya perkara ini berlaku berikutan lemahnya pegangan agama dan pengaruh nafsu.

Apabila suami atau isteri sah berlaku curang di belakang pasangan, kumpul kekuatan untuk berdepan dengannya secara bijaksana.

Ketepikan emosi dan cuba bersikap rasional.

Tanyakan kepada pasangan sama ada anda dan dirinya masih sesuai atau serasi bersama. 

Berterus-terang lebih baik daripada terus menyakiti perasaan sendiri mahupun pasangan.

Disebabkan kes curang, ada antara isteri nekad berpisah.

Tetapi masih ada yang bermurah hati menerima kesilapan suami demi anak-anak.

Apabila anda berhasrat meneruskan hubungan, berjumpalah dengan pakar kaunseling untuk berbincang secara terbuka dan mendapatkan pandangan.

Sebagai anak, ibu bapa adalah tempat terbaik untuk kita mengadu dan meraih kembali sokongan sebelum bangkit semula.

Nilai nasihat yang mereka beri sebaiknya.

Ibu bapa yang bijaksana akan bersikap neutral.

Mereka tidak akan mengapi-apikan hubungan anak-anak sebaliknya memberi nasihat membina.

Kalau boleh tenangkan fikiran dan cari semula kekuatan diri.

Jika berkemampuan, pergilah mengerjakan ibadah umrah.

Di sana anda boleh mengadu kepada Allah SWT sepuasnya, memohon keampunan-Nya, bermuhasabah diri, memikirkan kembali keputusan yang bakal diambil dan mencari ketenangan berharga.

Mereka yang sentiasa mengingati Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan suruhan Allah SWT serta berusaha meninggalkan laranganNya pasti tidak terasa terlalu terbeban dengan mainan emosi.

Berbeza dengan suami atau isteri yang jauh dan lalai, mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali berikutan adanya pengaruh emosi dan nafsu.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU