
KUCHING: Gara-gara ceroboh masuk rumah dan mencuri wang berjumlah 50 Dolar Singapura milik seorang lelaki berusia 23 tahun, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Alexander, 22, dari Kampung Kudei mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja menceroboh masuk rumah mangsa berusia 23 tahun di Jalan Star Garden, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, 29 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, sekitar jam 2.30 pagi, pengadu yang keluar dari tandas terserempak dengan seorang lelaki yang tidak dikenali masuk ke dalam rumahnya sambil membawa pisau.
Bagaimanapun, pengadu berjaya keluar melarikan diri menggunakan pintu tingkat atas rumah, seterusnya mendapati sekeping duit mata wang singapura 50 Dollar telah hilang dicuri.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.
Hasil siasatan, pengadu dapat mengecam wajah tertuduh yang menceroboh masuk ke rumahnya melalui hasil kawad cam.