BINTULU: Sarawak Energy menganggarkan kerugian lebih RM16,000 dialami secara bulanan susulan jenayah curi elektrik yang berlaku di dua pusat perlombongan mata wang digital kripto di Miri, baru-baru ini.
Kerjasama dalam menangani isu berkenaan oleh Sarawak Energy, bersama-sama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta polis di Miri berkenaan membawa kepada penemuan kes curi bekalan elektrik membabitkan pengendali mata wang kripto terletak di Desa Senadin.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kabel penoreh terus disambungkan dari sesalur masuk ke premis.

“Pasukan operasi juga menemui 85 alat melombong mata wang kripto dan peralatan elektronik lain dari kedua-dua lokasi berkenaan.
“Pelayan dan kabel berkenaan dirampas sebagai bukti kecurian elektrik dan laporan polis telah dibuat,
manakala pemilik premis juga didapati tidak mempunyai akaun bekalan elektrik Sarawak Energy berdasarkan pangkalan data pelanggan utiliti,” jelas Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sarawak Energy, pengusaha dan pemilik premis boleh didakwa mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik kerana mencuri elektrik, penalti termasuk denda sehingga RM100,000 dan atau penjara lima tahun jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, menurut kenyataan SEB itu lagi serbuan pihak berkuasa di negeri ini telah membongkar sebanyak 11 kes kecurian elektrik dalam tempoh dua bulan lepas dengan tujuh daripadanya di Kuching manakala selebihnya berlaku di Miri.
“Sarawak Energy akan terus bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta pihak polis untuk mengesan lebih ramai pencuri elektrik,” tegas kenyataan itu.