Curi kabel punca renjatan elektrik di Tatau

BINTULU: Kegiatan mencuri kabel di kawasan Tatau disyaki menjadi punca kepada kejadian renjatan elektrik yang menyebabkan seorang wanita cedera parah manakala seorang murid sekolah rendah melecur di bahagian bahu serta belakang akibat dari van yang membawa mereka terlanggar wayar elektrik milik Sarawak Energy Isnin lalu.

Sarawak Energy dalam satu kenyataan melahirkan rasa kekesalan atas kejadian yang berlaku Isnin pagi itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut yang turut diketuai oleh Unit Pemeriksa Elektrik d bawah Kementerian Utiliti Sarawak.

“Siasatan awal menunjukkan kabel bumi telah dipotong, dipercayai dicuri oleh pencuri kabel sehingga menyebabkan aspek keselamatan terjejas, dan talian kabel masih mengalirkan bekalan elektrik.

“Kejadian tersebut telah menyebabkan seluruh bandar Tatau kehilangan bekalan elektrik, termasuklah Klinik Tatau sejak jam 7 pagi dan bekalan telah dipulihkan kembali di Tatau pada jam 9 pagi, manakala Klinik Tatau dipulihlan pada jam 1 petang,” jelas kenyataan tersebut.

Sarawak Energy turut menasihatkan orang ramai untuk menjauhi sekurang-kurangnya lima meter atau 15 kaki jarak dari kabel elektrik yang terjatuh, dan perlu sentiasa beranggapan bahawa setiap talian elektrik yang masih mempunyai bekalan tenaga elektrik yang mengalir dan perlu segera menghubungi Sarawak Energu untuk bantuan di talian 1300 88 3111.

“Kabel elektrik yang terjatuh boleh menyebabkan perubahan voltan pada permukaan tanah dan pergerakan sama ada berjalan atau berjalan berhampiran garis tersebut boleh menyebabkan renjatan elektrik berlaku.

“Manakala bagi kejadian yang berlaku apabila ada kabel yang terjatuh pada kenderaan, orang rmai dinasihatkan supaya tetap berada di dalam kenderaan sehingga bantuan tiba dan memberi isyarat kepada individu lain agar menjauhi dan tidak mendekati kenderaan tersebut,” tambah kenyataan tersebut.

Ujar Sarawak Energy lagi sekiranya seseorang itu mahu meninggalkan kenderaan tersebut kerana bahaya lain seperti kebakaran, mereka perlu melompat keluar dari kenderaan dengan kedua-dua kaki di atas tanah pada masa yang sama.

“Pastikan kedua-dua kaki terus berada di atas permukaan tanah dengan melompat sekurang-kurangnya 10 meter dari tapak kejadian.

“Sarawak Energy amat mengutamakan keselamatan dan menggesa kontraktor pihak ketiga untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan ketika bekerja di dekat talian kuasa untuk memastikan keselamatan mereka sendiri dan keselamatan orang lain,” jelas Sarawak Energy.

Suara Sarawak