Trending

Curi kabel Telekom Malaysia, pemuda ke Sekolah Henry Gurney

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foto: BERNAMA

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang pesalah muda lelaki ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun selepas mengaku bersalah mencuri kabel tembaga sepanjang 5.92 meter milik Telekom Malaysia, Ogos lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh berusia 20 tahun ke sekolah tersebut selepas mendengar laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bangunan kerajaan di Jalan Diplomatik, sekitar jam 11.45 malam, 3 Ogos lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu merupakan anggota polis bersama-sama rakan setugas menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit terserempak dengan dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Semasa menghampiri kedua-dua lelaki terbabit, pengadu mendapati mereka telah mencuri kabel tembaga milik Telekom Malaysia.

Salah seorang lelaki tersebut berjaya melarikan diri, manakala tertuduh ditangkap bersama-sama barang yang digunakan untuk mencuri.

Barang-barang kes turut dirampas seperti satu gulung kabel tembaga sepanjang 5.92m, pisau pemotong kabel, seunit tali penarik kabel, pemutar skru, palam sepana yang telah diubah suai, sebuah motosikal, sebatang anak kunci dan sehelai baju berkolar.

Anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan sekitar RM500.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru