Curi makanan, penganggur dipenjara

KUCHING: Seorang penganggur dari Jalan Arang yang mengaku bersalah mencuri berbagai barangan makanan di sebuah pasar raya di Jalan Simpang Tiga dikenakan tiga bulan penjara dan denda RM200 ataupun dua bulan penjara, semalam.

Majistret Zubaidah Sharkawi mengarahkan hukuman penjara terhadap Christopher Lee Chun Lung, 30, berjalan dari tarikh ditangkap pada 5 Julai.

Chun Lung didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan mengaku mencuri beberapa barangan makanan di sebuah pasar raya yang mengakibatkan pasar raya terbabit mengalami kerugian RM128.32.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.16 malam di sebuah pasar raya di Jalan Simpang Tiga pada 5 Julai lalu.

Menurut fakta kes, pengadu iaitu pegawai keselamatan di pasar raya berkenaan sedang meronda di kawasan pasar raya ternampak suspek mengambil barangan makanan itu dan menyimpannya ke dalam beg sandangnya. Setelah berbuat demikian, suspek berjalan keluar dari kawasan itu tapi dapat ditahan pengadu.

Apabila ditanya adakah pembayaran telah dibuat terhadap barangan yang dicuri itu, suspek gagal menunjukkan resit bayaran bukti suspek mencuri juga terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup di pasar raya itu.

Dengan pertolongan rakan sekerja, suspek ditahan sementara menunggu kedatangan pihak polis.

Suspek ditangkap semula pihak polis pada 8.20 malam pada hari sama dan mengaku memasuki pasar raya berkenaan untuk mencuri barangan itu.

Ketika merayu, tertuduh meminta hukuman yang lebih ringan dan menyesali melakukan kecurian itu.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Muzaffar Shah Ibrahim.

Suara Sarawak