ARTIKEL

Dadah bernilai RM218,100 dirampas pada Ops Tapis Khas SeMalaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Sejumlah 5,700 gram dadah jenis Metamphetamine yang dianggarkan bernilai RM218,100 dirampas semasa Ops Tapis Khas SeMalaysia di sekitar daerah Miri.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, ia dijumpai dalam lima bungkusan paket berwarna hijau.

“Operasi serta serbuan telah dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Sekitar jam 7 malam bertempat di Jalan Kubu, pasukan serbuan BSJDN IPD Miri telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan,” katanya.

Susulan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman bagi membantu siasatan, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Selain itu, Alexson turut menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU