Dadah terus ke muka pintu

SIBU: Dadah terus dihantar di pintu melalui pembelian dalam talian dengan hanya memasukkan bayaran bank secara deposit tunai, salinan resit pembayaran dan alamat.

Taktik itu diakui seorang suspek selepas dicekup polis di kediamannya di Jalan Ngu Hock pada Isnin bersama dadah seberat 5.20 gram.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan tangkapan itu semalam berkata, suspek berumur lingkungan 40-an
ditahan di ruang tamu tingkat bawah pada jam 6.30 petang itu.

“Polis menjumpai sembilan peket plastik lut sinar kecil pelbagai saiz berisi ketulan kristal jernih dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 5.20 gram yang disimpan dalam satu bekas plastik atas meja,” katanya.

Stanley berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri dan dibeli secara bank in.

Tambahnya, saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah.

“Kita akan membuat permohonan reman di mahkamah majistret hari ini (semalam).

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya lagi.

TAHAN…Suspek yang ditahan.

Suara Sarawak