BAU: Kes jenayah indeks di Daerah Bau mencatatkan peningkatan untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, dalam tempoh Januari hingga 22 Mac 2022, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau mencatat 11 kes jenayah indeks berbanding empat kes pada tahun lepas.
Katanya, kes indeks jenayah menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh kes iaitu 175 peratus.
“Daripada 11 kes dalam tempoh Januari hingga 22 Mac 2022, sebanyak empat kes telah selesai iaitu 36 peratus.
“Bagi kadar pertuduhan Januari hingga 22 Mac 2022, sebanyak 13 kes telah dituduh (22 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Poge berkata, kes kemalangan jalan raya di Daerah Bau meningkat sebanyak 19 kes atau bersamaan 34.55 peratus.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bau mencatatkan sebanyak 74 kes dalam tempoh Januari hingga 22 Mac 2022 berbanding 55 kes kemalangan jalan raya dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagi penguat kuasaan pengeluaran saman, beliau berkata, sebanyak 311 saman dikeluarkan dalam tempoh Januari hingga 22 Mac 2022 berbanding 712 saman dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Ini menunjukkan penurunan prestasi pengeluaran saman iaitu sebanyak 401 jumlah saman iaitu 56.32 peratus,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau turut mencatatkan 84 kes dan 94 tangkapan dalam tempoh Januari hingga 22 Mac 2022.
Manakala katanya, sebanyak 66 kes dan 67 tangkapan dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Jelasnya, Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 18 kes.
“Bagi pecahan kes bagi tahun 2022, dua kes membabitkan lapan tangkapan di bawah Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, 18 kes dan 22 tangkapan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 64 kes di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Bagi tahun 2022, beliau berkata, sebanyak 12 kes waran tangkap telah disempurnakan melibatkan kes-kes lampau.
Manakala katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau telah menangkap dua lelaki di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 pada tahun 2021.