Dahulu nelayan, sekarang pembuat bot

PULAU BRUIT: Siapa sangka bermula dengan menggunakan modal permulaan yang dipinjam daripada isterinya, Kipli Mahji, 55, kini menjadi salah seorang pembuat bot fiber terkemuka di wilayah tengah Sarawak.

Menjadikan Kampung Betanak sebagai pangkalan utamanya Kipli kini giat menghasilkan bot fiber bagi kegunaan nelayan khususnya di utara Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya. Menggunakan sepenuhnya kemahiran yang dimilikinya, Kipli mampu menyiapkan tiga hingga lima buah bot dalam masa sebulan sebelum dipasarkan kepada pelanggan.

“Saya seorang nelayan sepenuh masa sebelum menyertai kursus gentian kaca di Kuala Baram Miri selama dua minggu pada tahun 2014. “Di situlah minat saya terhadap bot gentian kaca mula berputik,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak. Kipli berkata, langkah pertamanya bermula pada tahun 2015 apabila diminta menyiapkan 20 bot buah fiber subsidi oleh LKIM Bruit.

Bagaimanapun katanya, ketika itu dia berdepan dengan masalah modal sehingga terpaksa meminjam RM10,000 daripada isterinya. “Sokongan isteri menjadikan saya lebih bersemangat.

Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Walaupun berdepan dengan bermacam-macam cabaran saya tetap meneruskannya hingga mampu berdiri di atas kaki sendiri pada hari ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebuah bot yang dihasilkannya berharga RM4,000 hingga RM15,000 bergantung pada saiz yang dimahukan oleh pelanggan. Perkhidmatan yang ditawarkan usahawan ini tidak hanya membina baharu bot tetapi juga baik pulih bot yang rosak.

“Kehabisan stok bahan seperti gam dan kain gentian kaca dari pembekal di Sibu dan Sarikei merupakan cabaran terbesar saya dalam melakukan pekerjaan ini. “Namun, masalah itu jarang berlaku dan boleh diatasi,” katanya yang berazam untuk mengharumkan nama Kampung Betanak dalam industri itu.

Sementara itu, hasil kerja Kipli turut menarik perhatian Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol. Adun Semop bercadang menempah sebuah bot itu bagi kegunaan PIBG sebuah sekolah rendah.