Dakwaan kehabisan gas memasak tidak benar

MIRI: Adun Telang Usan Dennis Ngau menyangkal dakwaan penduduk di Kampung Kuala Tutoh kehabisan bekalan gas untuk memasak akibat banjir.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah akhbar nasional semalam.

“Saya sangat terkejut dengan laporan tersebut kerana tidak ada aduan diterima daripada penduduk kampung
yang terjejas akibat banjir.

“Saya sentiasa mengawasi keadaan. Saya tidak hanya berkomunikasi dengan pusat kawalan banjir Telang Usan
kami, Pejabat Daerah Telang Usan tetapi turut memeriksa sendiri keadaan di lokasi,” jelasnya ketika dihubungi
Suara Sarawak semalam.

Katanya lagi, usaha pihak berkuasa daripada pelbagai agensi yang menghantar bantuan asas kepada mangsa juga masih giat dilakukan.

“Saya amat gembira dengan pemimpin rumah panjang dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung kerana melakukan kerja dengan baik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kam-pung Kuala Tutoh Ben Wak mendedahkan, laporan akhbar tentang mereka kehabisan gas adalah tidak benar.

“Saya terkejut bagaimana mereka boleh menulis berita seperti itu kerana mereka tidak berada di sini,” jelasnya.

Ben mengakui sejak kebelakangan ini, kampung mereka dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan, namun bekalan makanan dan gas masak lebih daripada mencukupi.

“Kami juga menerima bantuan yang mencukupi daripada Jabatan Kebajikan sepanjang tempoh banjir ini,”
ujarnya.

Suara Sarawak