Dana ada jika vaksin tidak mencukupi

BAU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan dana untuk membeli vaksin Covid-19 bagi rakyat Sarawak jika bekalan menjadi masalah kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak menyasarkan memberi vaksin kepada dua juta penduduk menjelang Ogos depan.

“Kita juga memberitahu Kuala Lumpur berhubung sasaran untuk menyelesaikan program vaksinasi ini menjelang Ogos. “Bagaimanapun, pencapaian rancangan dan sasaran kita ialah bergantung kepada bekalan yang kita dapat daripada Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Bilik Operasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Tringgus di sini pada Khamis. Beliau ditemani Adun Serembu Miro Simuh dan Timbalan Setiausaha Negeri Datuk Ik Pahon yang mendengar taklimat daripada pegawai yang bertanggungjawab Dr. Winnie Johnnie.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, bagi mencapai sasaran terbabit, Ketua Menteri memperuntukkan dana untuk membeli vaksin sekiranya bekalan akan menjadi masalah. “Sehubungan itu, JPBN merancang dan berbincang dengan Kumpulan Penasihat Vaksinasi Negara mengenai perkara terbabit.

“Kumpulan itu diketuai Datuk Dr. Andrew Kiyu dari Unimas sedang berbincang dengan kumpulan pakar di Kuala Lumpur  mengenai perincian dan maklumat mengenai vaksin. “Mereka pada masa sama menjelaskan keberkesanan vaksin terbabit,” jelasnya.

Tegasnya, JPBN menginginkan pakar yang melakukan tugas tersebut berbanding ahli politik. Sementara itu mengenai rancangan vaksinasi untuk Daerah Bau, Uggah memberitahu  lebih daripada 20,000 atau 40 peratus penduduknya mendaftar untuk divaksinasi.

“Kami meminta yang lain belum mendaftar untuk berbuat demikian sehingga perancangan sewajarnya dilakukan. “Ini kerana kita tidak mahu seorang pun rakyat Sarawak terpinggir,” ujarnya.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Tringgus, Uggah berkata, ia melibatkan 760 penduduk daripada 186 keluarga di  tiga buah kampung. PKPB di kampung berkenaan bermula pada 8 Mac setelah 54 kes positif dikesan. Uggah melahirkan rasa gembira dengan perancangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Sebagai wakil rakyat saya faham akan keprihatinan Miro terhadap keperluan rakyatanya agar dijaga dengan baik. “Namun, PKPB adalah langkah yang amat diperlukan untuk melindungi kesihatan dan kehidupan masyarakat. “Ia bukan untuk menimbulkan kesulitan kepada penduduk.

“Di Kampung Tringgus, kita mengizinkan orang keluar untuk menuai padi tetapi harus mematuhi semua SOP. “Kami tidak mahu mereka dijangkiti atau menyebarkannya kepada orang lain. “Kami melihat bagaimana virus ini tersebar dengan cepat dari satu tempat ke tempat sejak kebelakangan ini. “Kita mesti bekerjasama untuk menghentikan penyebarannya,” katanya.

Suara Sarawak