Dana Kedaulatan Sarawak untuk generasi masa depan

KUCHING: Parti SUPP Cawangan Stakan menyifatkan cadangan penubuhan Dana Kedaulatan Sarawak penting untuk memastikan generasi akan datang terus mendapat manfaat dan keuntungan hasil minyak dan gas walaupun selepas mengalami kekurangan sumber tersebut.

Pengerusinya Datuk Sim Kiang Chiok berkata, SUPP bersetuju dan mengusulkan enam resolusi menerusi Persidangan Perwakilan Tahunan Deligasi SUPP pada 17 Oktober lalu.

Menurutnya, SUPP akan terus menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memimpin GPS dalam PRN kelak.

“Kedua, kita berharap Kerajaan Sarawak dapat memberikan pembayaran secara sekali sebanyak RM500 hasil pembayaran cukai jualan negeri sebanyak RM3.18 bilion daripada syarikat minyak kepada semua rakyat Sarawak.

“Ketiga, kita mahu Kerajaan Sarawak menubuhkan Dana Kedaulatan Sarawak untuk memastikan generasi akan datang terus mendapat keuntungan daripada pendapatan minyak dan gas bahkan setelah sumber ini habis,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Malah katanya, SUPP juga telah mengusulkan agar Kerajaan Sarawak mempersetujui penukaran tanah kediaman dan komersial pegangan pajak kepada hak milik bebas di seluruh negeri tanpa pembayaran premium tambahan.

“Kelima, kita juga mahu mencadangkan agar Kerajaan Sarawak membina 5,000 unit rumah mampu milik setiap tahun untuk memberi manfaat kepada rakyat kumpulan B40 dan M40 dan memberikan sokongan kewangan kepada pembeli rumah pertama.

“Manakala keenam, kita mahu Kerajaan Sarawak memberikan vaksin Covid-19 secara percuma untuk semua rakyat Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya, enam ketetapan tersebut telah diusulkan kepada Ketua Menteri pada 18 Oktober semasa persidangan tersebut yang melibatkan dana negari, kaedah penjimatan pendapatan terutamanya cukai jualan ke atas minyak dan gas yang dihasilkan dari Sarawak.

“Oleh itu, wajar bagi kita mengasingkan sebahagian cukai jualan ini dalam bentuk dana yang dapat menjana pendapatan tambahan melalui pelaburan berisiko rendah dan selamat.

“Hasil daripada pelaburan dana ini dapat digunakan untuk pembangunan, pendidikan, sosial, program kebajikan dan keperluan semua orang Sarawak.

“Malah Ketua Menteri telah menerima cadangan tersebut dan akan melakukan kajian menyeluruh untuk penyusunannya bagi memastikan kerangka tadbir urus dan mekanisme pelaksanaan yang tepat dapat dibuat dalam mengurangkan risiko besar berkaitan operasi dana seperti yang diumumkan pada sidang terakhir di Dun baru-baru ini,” jelasnya lagi.

Beliau turut menjangkakan bahawa cukai jualan hasil minyak dan gas akan menghasilkan pendapatan besar kepada Sarawak dan faedahnya harus dibahagikan dengan adil kepada rakyat yang juga dilihat penting untuk generasi masa depan Sarawak

Suara Sarawak