DANA Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak mendekati model Dana Kekayaan Berdaulat (Sovereign Wealth Funds – SWF) beberapa negara, antaranya Norway.
Daripada hanya 2 bilion kroner atau RM8.93 bilion pada 1996, kini Dana Pencen Global Kerajaan Norway menggelembung sebesar AS$1.4 trilion (RM6.37 trilion).
Sebagai negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan dana ini di Malaysia, Sarawak menyifatkan kerjasama dengan Norway penting kerana ia terbukti cekap sepanjang 25 tahun berjaya mengurus SWF.
Abang Johari ketika menyampaikan ucap balas kepada pegawai dan Pengurusan Pelaburan Bank Norges semasa mengunjungi ibu pejabat bank tersebut pada Julai 2022, menyifatkan standard tinggi pentadbiran Norway sejak penubuhan dana itu pada 1996 menjadi kayu ukur Sarawak mengurus dana ini kelak.
ASET NEGARA
Norway mengurus aset negara yang memiliki sebanyak 9,000 syarikat pelaburan, yang mewakili 1.5 peratus jumlah saham dunia.
Norway pada pertengahan abad ke-19 merupakan negara miskin yang hanya bergantung sepenuhnya dengan hasil pertanian dan perikanan sebagai hasil negara.
Melalui penemuan minyak pada era 1960-an, Norway mempelbagaikan aset pelaburan negara dan tidak hanya bergantung kepada hasil minyak semata-mata.
Pelaburan yang tepat dilaksanakan Dana Kekayaan Berdaulat menjadikan penduduk Norway terkaya di dunia daripada segi pendapatan per kapita.
PENDAPATAN BERGANDA
Sarawak yakin dapat meningkatkan pendapatan negeri berkali ganda kerana Sarawak mempunyai rantaian pendapatan berterusan, terutama selepas melaksanakan cukai khas bagi hasil minyak dan gas serta air.
Bagi Abang Johari, Sarawak dan Norway mempunyai beberapa persamaan, misalnya dari segi geografi yang hampir sama; Norway seluas 385,252km persegi dengan penduduk 5.5 juta berbanding Sarawak 124,450km persegi dengan jumlah populasi 2.9 juta.
Kedua-dua negara memiliki limpahan sumber asli; minyak, gas serta air untuk hidroelektrik dan hidrogen untuk masa depan.
Norway sedang menerajui Eropah dalam peralihan tenaga dengan hampir semua tenaga elektriknya dijana oleh sumber boleh baharu dan mempunyai satu daripada perkadaran kenderaan elektrik tertinggi di dunia.
Sarawak pengeluar minyak dan gas penting sejak 1910, menyasar menjadi wilayah utama peralihan tenaga di Malaysia, beralih daripada bergantung dengan bahan api fosil.
BERBANDING Sarawak, Singapura tidak mempunyai sumber, sebaliknya negara yang pernah bersatu dengan Malaysia itu sebelum ini, mempunyai ramai tenaga pemikir.
Diakui tenaga pemikir di Sarawak belum cukup kuat, namun Sarawak mempunyai sumber untuk memacu pembangunan Sarawak.
Menurut Abang Johari, tenaga pemikir boleh dilatih, dengan mengambil pengajaran bahawa: “Jika Lee Kuan Yew boleh mengubah Singapura, kita juga boleh mengubah Sarawak”.
Singapura mempunyai Dana Kekayaan Berdaulat atas nama Perbadanan Pelaburan Kerajaan atauGovernment Investment Corporation (GIC) yang merupakan dana pelabur kelapan terbesar dunia yang mampu mengurus aset bernilai AS$390 bilion.
Menurut Reuters, pada 2019, portfolio GIC memberikan pulangan 4.9 peratus setahun dalam terma nominal dolar AS dalam tempoh lima tahun berakhir Mac 2019, berbanding 6.6 peratus dalam tempoh berakhir Mac 2018.
Antara misi delegasi Sarawak ke Singapura adalah untuk mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC) di ibu pejabatnya di Capital Tower.
Delegasi Sarawak diberi taklimat berkaitan operasi, struktur tadbir urus, strategi pelaburan dan rangka kerja dasar pelaburan kerajaan Singapura.
Lawatan kerja rasmi ini sebahagian daripada proses penanda aras yang membawa kepada penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini.
Manakala, Temasek Holdings atau Temasek merupakan dana lebih kecil kerajaan Singapura yang melabur dalam ekuiti berbanding GIC menguruskan kebanyakan aset kewangan kerajaan, melabur dalam pelbagai aset dan mempunyai matlamat jangka panjang mengatasi inflasi global.
Temasek milik kerajaan Singapura diperbadankan pada 25 Jun 1974.
Beribu pejabat di Singapura, Temasek mempunyai pasukan multinasional seramai 800 orang, di 11 pejabat global termasuk dua pejabat di Beijing dan satu pejabat setiap satunya di Shanghai, Mumbai, Hanoi, London, New York, San Francisco, Mexico City, Washington, D.C. dan Sao.